KOTA BHARU: Kerajaan negeri mengalu-alukan pendaftaran 404 pelajar sekolah aliran perdana yang mendapat keputusan cemerlang Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2023 bagi menerima sagu hati RM500 daripada kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, bantuan tersebut tidak terhad kepada pelajar Yayasan Islam Kelantan (YIK) sahaja.
Katanya, pemberian tersebut bukan sahaja membabitkan peperiksaan SPM sahaja, malah merangkumi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Adakah anak-anak anda merupakan salah seorang dari 404 pelajar mendapat semua A dalam SPM? Jika Ya, boleh mendaftar untuk mendaftar bagi mendapat hadiah kecemerlangan kerajaan negeri Kelantan.
“Pendaftaran dibuka bermula 2 Jun di pejabat Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Bandar Baharu Tunjong,” kata beliau dalam satu hantaran di laman sosialnya semalam.
Wan Roslan turut berkongsi pautan berita mengenai 404 pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam SPM 2023 yang diumumkan, baru-baru ini.
Permohonan itu dibuka pada 2 Jun sehingga 16 Jun ini terbuka kepada semua anak Kelantan yang belajar di negeri ini atau pun luar negeri yang mendapat keputusan cemerlang. – HARAKAHDAILY 2/6/2024