PAS Kota Melaka sasar menang di dua DUN

- Advertisement -

KOTA MELAKA: PAS Kawasan Kota Melaka menyasarkan dua daripada lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen tersebut iaitu DUN Duyung dan Telok Mas untuk diberi tumpuan khusus bagi PRN akan datang.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Kawasan, Ustaz Sudin Nooh berkongsi hasrat tersebut kepada Harakahdaily usai Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kota Melaka yang berlangsung di sebuah hotel, di sini malam tadi.

“Pertamanya kita memandang potensi PAS khususnya ialah potensi untuk kita menang. Kemudian tu kita dengan kekuatan jentera, Cawangan-cawangan kita dan ahli-ahli yang kita ada.

“Juga melihat kepada situasi populasi penduduk memang kita lihat majoritinya orang Melayu Islam (di kedua-dua DUN tersebut). Lebih-lebih lagi bila kita lihat dengan keadaan (penerimaan dan sokongan) hari ini.

“Apabila masyarakat Melayu khususnya menerima Perikatan Nasional ini yang didukung oleh PAS memberikan kepercayaan dan keyakinan, maka kita rasa perlu untuk kita masuk bertanding,” ujarnya.

Kata Ustaz Sudin lagi, pihaknya sudah mula menggerakkan secara agresif kerja-kerja pilihan raya pada peringkat awal lagi di kedua-dua DUN itu sejak hampir setahun lepas.

“Masa PRU lepas, (berdasarkan undi Parlimen) kita mencapai kemenangan di DUN Teluk Mas. Di DUN Duyung kita menang tiga daripada enam Unit Daerah Mengundi (UDM),” katanya.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan rancangan membina sebuah kompleks pentadbiran lengkap bernilai RM2 juta bagi memberikan keselesaan kepada ahli menjalankan aktiviti parti.

Jelasnya, idea untuk membina kompleks tersebut lahir bagi memanfaatkan sebidang tanah yang telah diinfakkan kepada pihak PAS Kawasan sebelum beliau mengetuai jawatan itu lagi.

“Maka saya terfikir untuk kita bina lagi satu kompleks setelah kita ada satu Kompleks Tarbiah Dakwah Mahmudiah, untuk PAS Kota Melaka sendiri. Selama ni saya melihat kita menyewa bangunan setiap tahun, kita bayar.

“Apa kata kalau kita gunakan kesempatan tanah yang kita dah ada itu yang telah diinfakkan oleh ahli-ahli itu semua untuk kita bina satu kompleks. Insya-Allah pembinaan kompleks itu kita akan laksanakan mengikut fasa-fasa,” katanya.

Pelancaran pembinaan kompleks tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dalam majlis yang sama sewaktu merasmikan mesyuarat agung tersebut.

Tambah Ustaz Sudin, kompleks yang terletak di atas tanah seluas hampir dua ekar itu nanti akan menjadi pelengkap bagi memudahkan aktiviti dan program yang melibatkan dakwah, siasah dan sebagainya.

“Pelan bangunan sudah siap dan sekarang kita dalam proses untuk meminta kebenaran merancang daripada pihak Majlis Bandaraya dan insya-Allah dalam masa terdekat kita akan mulakan pembinaannya dengan menanam curucuk,” maklum beliau.

Katanya lagi, untuk permulaan dalam masa terdekat ini pihaknya menyasarkan kutipan sumbangan RM100,000 bagi memulakan pembinaan tersebut di samping dana RM100,000 yang diinfakkan ahli sebelum ini.

Jelas beliau, pihaknya merancang untuk menyiapkan pembinaan kompleks tersebut dalam tempoh antara tiga ke lima tahun bergantung kepada dana yang berjaya dikutip.

“Biasanya bergantung kepada infak. Kalau ahli-ahli boleh bantu secepat mungkin, kita akan siapkan segera. Kalau kita ada dana (yang mencukupi), dalam dua tahun kita boleh siapkan insya-Allah,” ujarnya.

Majlis perasmian Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kota Melaka itu turut dihadiri oleh ramai pimpinan tertinggi Perikatan Nasional dan PAS negeri, antaranya Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail.

Juga Pengerusi Perhubungan Perikatan Nasional Negeri, Dr Mohd Yadzil Yaakub dan Pengerusi GERAKAN Melaka, Datuk Micheal Gan Peng Lam. – HARAKAHDAILY 2/6/2024

- Advertisement -