GOMBAK: Sikap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang tidak turun padang dalam menyelesaikan isu perobohan kediaman yang dihadapi penduduk di Kampung Sri Makmur, di sini menimbulkan persoalan.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, Amirudin yang juga merupakan ahli parlimen kawasan berkenaan tidak seharusnya berdiam diri, sebaliknya turun padang meninjau keadaan penduduk di situ kerana ia adalah sebahagian daripada kawasan dan pengundinya di Parlimen Gombak.
“Ini rakyat kamu, pengundi kamu, kawasan kamu Parlimen Gombak. Batang hidung pun tak nampak turun bantu rakyat sehingga ke hari ini.
“Ini yang kita sebut orang Melayu ditolak beransur-ansur, sedikit demi sedikit perkampungan Melayu dimusnahkan tanpa mendapat pembelaan. Berapa banyak lagi kampung Melayu dapat dibela?
“Sebab itu kalau mereka rasa bertanggungjawab, turun selesaikan masalah ini. Kalau kamu pemimpin yang bermaruah dan amanah, jangan kamu sibuk jaga dan berikan tanah kepada tauke-tauke yang kaya tetapi kamu biarkan rakyat susah, hidup melarat,” katanya ketika ditemui Harakadaily.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan tinjauan pada malam tadi (1 Jun) di kawasan kediaman kampung malang berkenaan yang telah dirobohkan pada 27 dan 28 Mei lepas.
Tinjauan Harakahdaily mendapati kesemua struktur rumah di kampung tersebut telah habis dirobohkan termasuk surau, tanpa sempat penduduk di situ mengambil al-Quran dan sebagainya.
Terdapat juga sebahagian penduduk yang masih duduk di dalam lori, van dan khemah di bawah jejambat di sekitar kampung berkenaan tanpa mengetahui hala tuju mereka selepas ini.
Tambah Sukri, PAS sewaktu menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Selangor tidak pernah ganggu mahupun menghalau penduduk di kawasan kampung berkenaan. Namun sebaliknya berlaku apabila Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan.
“Ini akibat apabila PAS tidak lagi memimpin Selangor, PH dan BN sekarang membuat sesuka hati mereka. Di mana UMNO Gombak? Mana Ketua Bahagian UMNO Gombak? Untuk apa kerajaan yang kamu bina hari ini kalau kamu tak dapat bela rakyat?” soalnya.
Media sebelum ini melaporkan hanya 21 daripada 153 keluarga di kampung itu yang terlibat dengan kerja perobohan kediaman diberikan pampasan RM1,000 serta penempatan semula di Rumah Selangorku.
Amirudin kemudian dalam kenyataan media berkata, pihaknya bersedia untuk melihat kembali bantuan yang boleh diterima keluarga berkenaan tetapi telah meletakkan syarat bahawa mereka perlu membuktikan yang mereka adalah penduduk asal yang wajar mendapat penempatan semula, selain tidak mendapat pampasan daripada mana-mana pihak.
Namun dalam kenyataan balas di media, penduduk terbabit mempersoalkan syarat yang ditetapkan Amirudin itu sebagai tidak masuk akal dan sudah terlambat kerana mereka sudah tidak mempunyai apa-apa lagi yang tinggal selepas kediaman mereka dirobohkan, terutama pada 27 Mei itu.
Oleh yang demikian, menurut Mohamed Sukri, ini merupakan masa untuk rakyat sedar bahawa mereka cukup tertipu dengan kerajaan perpaduan antara PH dan BN yang dibina dengan penuh kepalsuan dan tidak punya nilai kemanusiaan.
“Sehebat mana kamu, berkuasa macam mana pun kamu, kuasa itu tidak kekal. Mereka akan berdoa kepada yang Maha Kekal.
“Kamu buat zalim…ingat, doa orang-orang yang dizalimi tidak terhalang. Mereka berdoa kepada Allah SWT. Kalau kamu tidak membela mereka, mudah-mudahan Allah SWT membela mereka,” katanya. –HARAKAHDAILY 2/6/2024