(Travelog) Solat Aidiladha dan mula sembelihan korban

- Advertisement -

10 JULAI 2022 – Ahad

- Advertisement -

Bertalu-talu masuk pesanan Whatsapp dan juga rakan-rakan yang menulis di timeline Facebook sejak malam tadi. Masing-masing mengucapkan Selamat Hari Lahir pada ku.

Ah, memang istimewa juga tahun ini, hari lahir di medan bertugas. Jika selalu di tanah air, hadiah, belanja makan, kek, kuntuman bunga dan lain-lain segera sampai tiap kali tibanya hari ulang tahun. Namun di perantauan kali ini, membaca ucapan teman-teman sahaja pun sudah cukup menghiburkan.

Hidup ini seketika cuma, baik kita cari perkara yang baik dan indah sahaja untuk dikongsi bersama orang di sekeliling. Kurangkan atau elakkan sahaja perkara negatif yang boleh membawa kepada pergeseran, masam muka dan permusuhan berpanjangan.

Kami bersiap awal untuk menunaikan solat sunat Aidiladha. Tiba-tiba Pok Mid masuk ke bilik penginapan dengan gesa-gesa dan sedikit kekesalan bunyinya. “Ada masaloh sikit nih, ore semaye dah raya kemarin, arini tak tahulah lagu mana!”.

Aku yang baru sudah solat Subuh sedikit kebingungan. Eh apa benda la pulak bunyi pelik ni.

Sambung Pok Mid lagi, “Sebahagian penduduk Mangochi sudahpun menyambut Hari Raya Haji pada semalam hari, 9 Julai kerana mengambil roh dan tarikh sama seperti di Saudi”.

Oh, barulah aku teringat kata-kata Muhammad semalam sewaktu aku bertanya kenapa lori di hadapan kita ni penuh dengan lembu mati.

Katanya memang wujud sebahagian umat Islam Malawi yang merayakan Aiduladha pada hari itu kerana mahu sama dengan Saudi, sedangkan ulama utama negara mereka meletakkan hari Ahad sebagai hari raya pertama.

Kacau sungguh kalau macam ini. Bayangkan kalau di Malaysia, ada yang mahu beraya hari sekian-sekian contohnya, manakala separuh lagi rakyat berkeras mahu beraya keesokkan harinya, pasti huru-hara bukan?

Siapa nak cuti umum hari apa, nak rancang bertolak balik kampung hari apa, nak sembahyang sunat hari raya hari apa, isteri nak solat esok, suami hari ini, korban pula hari beza-beza, kongsi 7 bahagian, ada yang nak sembelih hari ini, ada nak sembelih esok. Ini semua kelam-kabut.

Namun difahamkan perkara ini sudah berlangsung puluhan tahun di Mangochi, mereka sudah terbiasa dan sudah ada pegangan masing-masing pun. Mereka tak kisah pun.

Kami keluar menunggu van Muhammad yang berpusing sekitar pekan ini untuk mengetahui di masjid manakah yang semalam belum beraya, dan akan solat sunat Aiduladha pagi ini. Seketika kemudian ada lima orang kampung berpakaian jubah putih yang lusuh, berjalan ke satu arah. Aku bertanya, “Where are you going brother? Eid prayer?”.

“Yes yes we want to go to masjid, Eid prayer,” jawabnya ringkas sambil menunjukkan arah lokasi masjid dan menyebut ia hanya setengah kilometer sahaja dari situ.

Alhamdulillah. Rupanya ada je penduduk kampung yang berhari raya di sini.

Kami tiba di masjid sekitar jam 7:15 pagi, hanya ada bilal yang sedang bertakbir hari raya dengan lenggok irama Malawi dan seorang tua lagi. Awal sangat kami tiba.

Setelah hampir 7:45 pagi seorang ahli jawatankuasa masjid agaknya membuat pengumuman bahawa akan dimulakan solat sunat pada jam 8:00 pagi tepat.

Aku melilau ke luar jendela masjid, masih tidak ramai yang hadir biarpun masa telah mendekati jam 8:00 pagi.

Di luar masjid berdiri antara 5-6 orang yang memakai vest bertulis ‘Hilal Afrika’. Aku mendekat dan mengucapkan salam serta memperkenalkan namaku dan Yayasan Amal. Rupanya mereka ini datang dari Turki dan telah tiba dua minggu lepas serta akan pulang semula ke negaranya 3 minggu selepas raya.

Mereka membawa 20 ekor lembu hari ini untuk disembelih kepada fakir miskin di kaki gunung yang jaraknya 6 jam dari Mangochi.

Aku berlabon sebentar bersama mereka dan berkata solat sunat hari raya hari ini pelik kerana sudah ada yang beraya semalam.

Salah seorang daripada mereka ketawa dan berkata, “Yeah some of them already having eid yesterday. We were so shock when they slaughtered animals yesterday. We ask why? Then they said the date is the same as Saudi”. Kami ketawa bersama.

Tepat jam 8:00 pagi imam memanggil untuk solat. Seperti amalan biasa juga di tempat kita, imam mengingatkan mengenai niat solat, berapa kali takbir untuk rakaat pertama dan kedua. Belum sempat imam memesan berapa kali takbir itu, ada seorang dari jemaah bersoal adakah bilangan 7 atau 5 itu bersekali dengan takbiratul ihram.

Mereka berselisih seketika. Kami hanya tersenyum, berdiri dalam saf solat.

Solatnya agak ringkas serta khutbah pun pendek sahaja. Cuma selesai sahaja khutbah, ada pula ucapan 2-3 orang, mungkin wakil rakyat atau pemimpin setempat.

Solat hari raya hari ini di ruangan lelaki hanya hampir 3 saf sahaja jemaah hadir. Ada lagi 3 barisan kosong. Pok Mid berkata, “Patutnya penuh kot, tapi dah kemarin semaye dah separuh ore kapung”. Aku hanya sambung ketawa.

Kami kembali ke penginapan untuk bersarapan, menukar pakaian kemudiannya bergerak ke kampung Chikumba untuk menyembelih separuh dahulu binatang korban kiriman rakyat Malaysia.

Penduduk di sini agak ringan tulang membantu, mudah disuruh dan diarah untuk membawa lembu keluar kandang seekor demi seekor untuk disembelih. Walaupun pada awalnya mereka banyak duduk berbual dan bersembang sahaja, namun bermula sahaja lembu pertama, prosesnya mereka percepatkan.

Ada tim yang mengheret lembu dari kandang ke kebun bersebelah untuk disembelih, ada yang menjadi tukang ‘perebah’, ada yang bantu ikat kaki, tukang pegang sewaktu sedia disembelih, tukang lapah, tukang potong daging sampai jadi ketulan-ketulan kecil. Cukup lengkap.

Di sini kami hanya menyelaras nama-nama peserta korban, lembu mana untuk senarai yang mana sahaja. Mudah. Dan aku serta Haji Hassan tinggal pergi sembelih dengan pisau kami.

Situasi ini amat berbeza dengan yang kami alami di Marawi dahulu. Tarik lembu, perebah lembu, ikat kaki, pegang lembu, sembelih semua kami buat hampir 85% prosesnya. Penduduk di situ hanya ambil lembu yang sudah disembelih, punggah naik van atau pacuan empat roda mereka dan berlalu pergi. Kadang-kadang kami juga yang kena tolong angkat naik ke kenderaan mereka.

Itu sekadar kenangan sahaja.

Di Malawi ini, aku menyahut saranan Amirul Jufri untuk menggunakan pisau Bohler N690 untuk sembelih lembu dan memang terbukti pisau ini amat baik. 15 ekor semalam disembelih tanpa perlu apa-apa asahan pun. Tajam. Puas hati!

Menjelang azan zohor semua 21 ekor lembu untuk kampung ini siap disembelih dan mereka mulai melapah serta memotong daging dan tulang.

Kami dijamu makan tengahari di rumah tempat berlangsungnya program ini, iaitu rumah ayah kepada Timbalan Speaker Parlimen Malawi iaitu Madam Aisyah.

Nasi mereka cukup sedap dan wangi. Sewaktu dimasak pun, nasi ini sudah mengeluarkan aroma yang harum dan menyelerakan.

Dua menu kelihatan dibuat hari ini, satunya nasi berwarna kuning seperti nasi arab dan dimasukkan bersama daging kambing manakala satu lagi nasi putih serta masakan seakan gulai atau singgang atau hibrid antara keduanya, menggunakan daging lembu.

Masakan mereka kurang menggunakan rempah, hanya terasa garam sahaja. Aku makan separuh pinggan sahaja kerana terlalu penat. Nampak sedap, terasa lapar, tetapi akibat penat, hanya mampu makan sedikit.

Nasi dan lauk lembu diletakkan di dalam baldi sahaja, mungkin cara kenduri di sini sebegini. Kami makan seadanya. Alhamdulillah.

Usai makan tengah hari, kami keluar menyantuni hampir seribu wakil isi rumah yang beratur sejak pagi untuk mendapatkan daging korban. Kasihan pula melihat mereka menunggu di atas tanah sejak pagi sementara wakil kaum lelaki membantu kami dalam proses sembelihan dan pemotongan daging daging.

Anak-anak pula masih sibuk bermain, berlari ke situ sini tanpa rasa letih. Mereka tidak faham apa pun, hanya menunggu kaum ayah sibuk ‘duk pisah’ daging korban dan menanti ibu mereka sahaja.

Sempat juga aku berkeliling sekitar kampung ini melihat sosio ekonomi penduduk ini. Normalnya rumah mereka seluas 8X10 atau 6X8. Di situlah tempat suami isteri berteduh dengan 4-5 orang anak. Terasa bilik stor di rumah kita jauh lebih besar berbanding rumah penduduk di sini.

Mereka membina pondok kediaman itu dengan berdindingkan jerami, rumput kering dan pohonan tebrau sahaja. Yang lain menggunakan tanah liat hitam sebagai bata bata untuk binaan. Jarang sekali yang ada duit untuk menggunakan bata dengan konkrit, mungkin 1-2 peratus sahaja. Selebihnya memang guna bata tanah merah.

Tandas pula memang di luar pemikiran kita, kalau saya ceritakan pun setiap daripada anda pasti sukar mempercayainya.

Sumber air adalah daripada telaga yang perlu dipam. Di situlah mereka mandi, isteri dan anak-anak mandi, membasuh kain, pinggan mangkuk. Ah sukar aku nak bayangkan isteri kita mandi di tengah-tengah tanah lapang dikelilingi puluhan rumah jiran. Tiada dinding. Ia terbuka!

Kemudian, air yang mahu diguna untuk masak serta minum, atau kegunaan tandas, perlu dipunggah oleh anak-anak kecil. Pam di luar sana, kemudian angkut.

Memasak pula, penduduk kampung ini menggunakan kayu kayu api, ranting, rumput kering dan semua jenis bahan organik kering yang boleh menjadi ‘makanan api’.

Dan bagi mereka yang sedikit berada, mereka memasak dengan arang. Ini kelas pertengahan. Mungkin harga arang sedikit mahal. Sebab itulah di Bandar Blantyre kelmarin pun, aku lihat di beberapa kediaman yang agak berada dari segi kewangan, juga menggunakan arang.

Tong gas hampir tiada di negara ini, jika ada pun mungkin hanya digunakan oleh restoran-restoran besar. Kata Madam Syafina dan Mohammad, gas memasak terlalu mahal untuk orang Malawi dan amat sukar untuk diperolehi.

Pendek kata, kehidupan penduduk di Malawi ini ia terpisah dek ‘gap’ yang tidak masuk akal. Bagi penduduk bandar di beberapa buah bandar besar, bangunan mall, pejabat dan lain lain kelihatan hampir sama sahaja dengan mana mana negara dunia ketiga. Tetapi keluar sahaja, di pinggir bandar, apatah lagi di kawasan pedalaman, bezanya seperti langit dan bumi! Miskin melarat, papa kedana. Kais pagi makan pagi.

Ya memang benar. Sempat ku bertanya kepada Muhammad dalam perjalanan ke Tasik Malawi semalam, kenapa sampai malam pun ramai orang meniaga dan membeli di tepi jalan biarpun hari telah gelap.

Jawapannya adalah kerana, mereka akan membeli apa apa keperluan untuk makan pada waktu pagi sahaja. Tengahari bekerja, sebelah petangnya jika ada duit, mereka keluar pula membeli untuk memasak sebelah malam.

Begitulah terbuktinya perkataan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ di sini. Keduanya mereka tidak memiliki elektrik dan sudah pasti tidak mampu ada peti sejuk. Jadi makanan tidak boleh disimpan lama. Perlu beli setiap masa.

Sebelum Maghrib, kami bergerak ke Tasik Malawi yang menjadi kebanggaan penduduk setempat.

NAZMAN CHE IBERAHIM

Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan – HARAKAHDAILY 1/6/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!