Transaksi hartanah di Kelantan meningkat kepada RM1.853b

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebanyak 2,600 unit hartanah dan rumah pelbagai jenis dipamerkan pada Ekspo Mapex Kelantan 2024 yang membabitkan transaksi hartanah mencecah RM1.853 bilion.

- Advertisement -

Pelbagai jenis kediaman terdiri daripada rumah teres, semi-D, banglo, apartmen dan kondominium serta lot-lot kedai telah dipamerkan pada pameran itu yang melibatkan pemaju swasta dan anak-anak syarikat kerajaan negeri.

Pengerusi Mapex Kelantan, Datuk Samsuri Awang Mat berkata, mengikut laporan yang disediakan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta 2023, jumlah transaksi hartanah di Kelantan meningkat kepada RM1.853 billion.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pameran Hartanah dan Perumahan Malaysia (Mapex Kelantan) di ruang legar KB Mall, di sini petang semalam.

Katanya, daripada jumlah berkenaan sebanyak RM1.009 bilion atau peratus merupakan transaksi sektor hartanah kediaman dan selebihnya jualan diperolehi daripada lot-lot kedai.

Pameran tersebut diadakan selama tiga hari bermula 30 Mei hingga 1 Jun, bermula 10.00 pagi  hingga 10.00 malam bertempat di Centre Atrium (ruang legar) KB Mall Kota Bharu, di sini.

“Berdasarkan laporan tersebut menunjukkan pemaju telah berjaya membuka peluang aliran tunai masuk berjumlah lebih dari RM1 billion.

“Dengan jumlah berkenaan juga telah meningkatkan ekonomi rakyat Kelantan melalui peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan di dalam industri perumahan,” katanya.

Katanya, usaha itu bukan satu perkara yang mudah, malah memerlukan sokongan daripada semua pihak terutama kerajaan negeri. 

Samsuri turut memberitahu, antara keistimewaan yang diberikan orang Melayu bukan anak Kelantan dapat membeli rumah tanpa melalui mesyuarat Exco kerajaan negeri sekiranya memenuhi syarat-syarat tertentu.

Katanya, keistimewaan itu sangat membantu untuk mempercepatkan proses memiliki rumah kepada para pembeli agar dapat menjayakan sasaran  kerajaan negeri  untuk satu rumah satu keluarga tercapai.

Pemaju-pemaju perumahan Kelantan yang turut serta dalam pameran Mapex kali ini Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri, SPP Development Sdn Bhd.

Turut menyertai pameran tersebut ahli-ahli Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Rushdan Yusoff Properties Sdn Bhd, SBJ Binajaya Development Sdn Bhd, Pingat Harmoni Development Sdn Bhd, Wira Homeland Sdn Bhd.

Turut serta, BBGM Wangsa Development Sdn Bhd, Kayangan Property Sdn Bhd, BBGM Tok Bali Development Sdn Bhd dan Sensatimur Sdn Bhd. – HARAKAHDAILY 1/6/2024

- Advertisement -