‘Tidak perlu takut dan prejudis terhadap PAS’

- Advertisement -

SEPANGGAR: Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata parti itu bergerak atas tiga jalur utama iaitu siasah, dakwah dan tarbiah.

- Advertisement -

Katanya, jalur siasah membawa PAS dalam politik yang berdaftar sebagai Parti Islam Se-Malaysia dan menyertai pilihan raya.

“Siasah tidak boleh lari dari politik, namun begitu PAS menerapkan sifat ehsan dalam berpolitik bukan dengan jatuh menjatuhkan, benci-membenci dan buruk-memburuk parti lain,” ujarnya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Sepanggar di sebuah hotel di sini, kelmarin.

Menurutnya, perbezaan politik dan matlamat parti tidak menghalang PAS untuk membantu pihak yang mahu membawa pembangunan masyarakat dan negeri Sabah khususnya Sepanggar ke arah yang lebih baik.

“PAS juga mewujudkan institusi pendidikan seperti PASTI, SRITI dan SMITI untuk mendidik ummah mengenal kehidupan dunia akhirat yang wajib kita yakini.

“Tidak perlu takut dan prejudis terhadap PAS kerana PAS hanya mengajak rakan-rakan parti dan masyarakat sama-sama melakukan gerak kerja kebaikan,” kata beliau lagi.

Aliakbar juga mengucapkan terima kasih atas kesudian rakan-rakan parti yang hadir pada majlis itu seperti Gerakan, Pejuang dan SAPP.

Beberapa  anugerah turut disampaikan dalam mesyuarat kali ini iaitu Tokoh Khalid Al-Walid diberikan kepada Rashlie Jonklas, Tokoh Nusaibah (Darma Yusop), Anugerah PAS Istiqamah (Muhammad Abu Itqan dan Ummu Anis A Wahab) dan Biro Terbaik disandang biro pilihan raya.

Selain itu, Anugerah Khas Yang Dipertua PAS Sepanggar diberikan kepada Samsudin Awang Amat iaitu Pengerusi Persatuan Bajau Samah, Adeline Bion dari Kampung Buronuon, Ismail Tudiki (Kampung Gudon), Hanafi Budi (Kampung Unggun), Morsidi Mohamad (Kampung Salimbangun) dan Ustaz Wanhar Muljibin (Madrasah Numbak). – HARAKAHDAILY 1/6/2024

- Advertisement -