MERSING: PAS Negeri Johor akan mengadakan sambutan 70 tahun penubuhannya di negeri ini secara besar-besaran, kata Pesuruhjaya, Ustaz Abdullah Husin.
Menurut beliau, sambutan tersebut dibuat bagi mengenang jasa generasi awal yang menubuh dan menggerakkan PAS di negeri ini dengan melalui pelbagai kesusahan.
“PAS Kawasan Mersing pada malam ini merupakan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-56. Jadi bayangkan, 56 tahun berada dalam persada politik tanah air kita.
“PAS Malaysia 73 tahun. PAS Johor 70 puluh tahun. Lewat sikit. PAS Mersing, 56 tahun. Kira hebatlah Mersing ni antara kawasan yang lama, yang berpotensi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan alu-aluan sewaktu majlis perasmian Mesyuarat Agung PAS Kawasan Mersing yang berlangsung di Markaz PAS Darul Takwa, di sini malam tadi.
Beliau dalam ucapannya turut membacakan petikan surah At Taubah yang bermaksud, ‘Wahai Muhammad sekiranya perjuangan Islam kamu bawa ini adalah dicapai dengan mudah dan perjalanan yang dekat, nescaya mereka semua akan mengikutmu’.
“Tetapi sesungguhnya perjuangan Islam itu adalah perjalanan yang jauh, menempuh berbagai-bagai susah payah, pahit maung dalam perjuangan. Maka segelintir yang beristiqamah, segelintir yang sanggup berjuang bagi meneruskan kesinambungan perjuangan,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan pesanan Khalifah Umar Al Khattab sewaktu meraikan kemenangan di Baitulmaqdis bahawa kemuliaan yang diberikan Allah SWT kepada sesuatu kaum adalah kerana Islam.
Namun peringat Umar sambung Ustaz Abdullah, sekiranya umat Islam mencari kemuliaan dengan cara yang lain daripada Islam, mereka pasti akan dihinakan Allah.
“Di saat kemenangan yang besar pembukaan Baitulmaqdis, biasanya orang menyambut kemenangan dengan sorak gembira. Tetapi Sayidina Umar memberi amaran kepada umat Islam.
“Supaya beristiqamah di atas dasar Islam, prinsip Islam, perjuangan Islam. Mencari ‘izzah’ yang dijanjikan Allah berdasarkan Islam itu sendiri,” ujarnya.
Selain Ustaz Abdullah, turut berucap ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Mersing, Roslan Nikmat yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff. – HARAKAHDAILY 1/6/2024