KUALA KEDAH: Meraikan kepelbagaian pendapat di samping menerima kelebihan serta kekurangan satu sama lain antara perkara sangat dituntut kepada setiap anggota di dalam jemaah.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, walaupun perkara itu bukanlah mudah untuk direalisasikan, namun demi kebaikan jemaah dan mencari redha Allah, ia perlu dilakukan.
“Kita faham, bercakap mudah, nak buat tu agak susah. Tapi semuanya bergantung kepada nawaitu (niat) seseorang. Buat kerja cari redha Allah. Apatah lagi kita semua bukannya sama.
“Tetapi apabila kita raikan kelemahan orang lain, mudah-mudahan nanti orang lain pula meraikan kelemahan kita,” kata beliau berucap merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kuala Kedah Kali Ke-50 di Dewan Al-Amin, Telok Bagan, di sini hari ini.
Dalam pada itu ujarnya, menyusun gerak kerja siasah tidaklah sukar berbanding melaksanakan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah, terutama kepada masyarakat luar yang sukar memahami Islam.
“Nak ajak buat kerja pilihan raya, tak ada masalah, gerak tidur jam 3:00 pagi pun sanggup, cuma untuk melebarkan dakwah dan tarbiyah untuk mengajak orang lain bersama kita, serta memahami kehendak Islam sebenar, bukan semudah yang disangka,” tambahnya.
Justeru pemantapan organisasi di peringkat cawangan katanya, perlulah diberi perhatian dan bukan hanya diserahkan kepada individu tertentu sahaja.
Sementara, dalam soal pentadbiran kerajaan kata Shukri, tidak semua perkara boleh dilakukan dengan cepat, sebaliknya perlu diteliti dari segi nilai, risiko dan implikasi.
Beliau dalam ucapan tersebut turut berkongsi pengalaman dan cabaran mengemudi pentadbiran pemerintahan sebagai usaha mengisi kemenangan, termasuk meraikan kepelbagaian yang wujud.
“Walau bagaimanapun, saya mengharapkan empat negeri yang diteraju Perikatan Nasional (PN) kekal hingga PRU16, di samping negeri-negeri lain yang berpotensi dimenangi PN,” ujarnya lagi.
Pesuruhjaya PAS Perlis itu juga mengharapkan agar ahli terus beristiqamah bersama PAS dan bekerja bersungguh-sungguh mempertahankan kemenangan yang diperolehi.
“Istiqamah ini perkara utama selain niat untuk meraih redha Allah. Dok dalam jemaah ni, InsyaAllah berkat dan satu lagi jangan kedekut tetapi tak boleh pula boros,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 31/5/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!