RIMPAC 2024: Lajnah Antarabangsa PAS kesal kenyataan PMX

Muhammad Khalil (kanan) di samping Penasihat Liga Ulama Palestin, Dr Abdullah Abd Almajeed Alzindani. (FOTO FAIL HARAKAHDAILY)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Antarabangsa PAS Pusat (LAPP) melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) yang mempertahan tindakan negara untuk terus menyertai  latihan ketenteraan maritim antarabangsa Rim of the Pacific (RIMPAC) 2024.

Pengerusinya, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, RIMPAC 2024 yang akan berlangsung dari 26 Jun hingga 2 Ogos jelas menunjukkan, acara itu  akan disertai oleh rejim haram Israel.

- Advertisement -

Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa Anwar berkata, penyertaan negara dalam RIMPAC 2024  perlu dipertimbang dengan teliti, selain melihat potensi implikasinya.

Anwar juga menyatakan, tindakan kerajaan tidak seharusnya menjejaskan kepentingan rakyat dan perdagangan.

“Jika kami mengikut setiap pendekatan yang dicadangkan, kami terpaksa menghentikan operasi syarikat seperti Microsoft, Google, Apple dan Facebook,” katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Khalil ketika dihubungi Harakahdaily menegaskan bahawa respons dan tindakan PMX dalam tegas dalam  sikap dan penentangan terhadap rejim haram Israel sebelum ini tidak konsisten, kerana masih boleh berkompromi dengan penyertaan rejim pengganas Israel dengan RIMPAC 2024.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok berkata, pihaknya memandang serius isu tersebut memandangkan rejim haram Israel terus-enerus melakukan serangan dan pengeboman yang sangat kejam ke atas penempatan dan khemah-khemah pelarian warga Palestin di Gaza. 

“Malah keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) serta resolusi Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) hanya dipandang sinis oleh rejim penzalim ini. 

“Maka, inilah masa yang sewajarnya Malaysia menjadi pelopor kepada usaha tegas dan bertanggungjawab bagi memprotes dan memencilkan rejim haram Israel dalam mana-mana platform antarabangsa yang berwibawa,” tegas beliau.

‘Isu ZIM Rotterdam.. Adakah ini wayang atau…?’

Khalil berkata, pihaknya juga ingin menarik perhatian terhadap kenyataan PMX yang menyatakan bahawa beliau telah bertindak menyekat kemasukan kapal dagang Israel, ZIM sebagai bukti ketegasan beliau pada Disember tahun lalu.

“Dalam pada itu, LAPP mengalu-alukan kenyataan (Anwar) tersebut. Dari segi tindakan pula masih lagi timbul tanda tanya,” ungkap beliau.

Khalil menyatakan, PMX dan kerajaan pimpinannya masih berdiam diri terhadap dakwaan kapal ZIM Rotterdam milik Israel dibenarkan berlabuh di Pelabuhan Klang pada 29 dan 30 April 2024. 

“Apakah ini juga wayang atau sememangnya PMX hanya pandai menabur kenyataan tetapi tidak pada tindakan?” katanya.

Terdahulu, pergerakan perkapalan antarabangsa mendapati kapal kargo ZIM Rotterdam yang dimiliki syarikat Israel Zim Integrated Shipping Services, berlabuh di Pelabuhan Klang pada 29 April lalu, sebelum berlepas sehari kemudian menuju ke Pelabuhan Shantou, China.

Zim Rotterdam, dengan nombor Organisasi Maritim Antarabangsa (IMO) 9398450, belayar menggunakan bendera negara Afrika, Liberia.

Penemuan itu dijangka menimbulkan persoalan sama ada pihak berkuasa Malaysia gagal menguatkuasakan larangan serta merta dan kekal seperti yang diumum Anwar pada Disember lalu.

Oleh demikian, Khalil berkata, pihaknya memuji tindakan badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh negara yang menyatakan bantahan terbuka terhadap penyertaan Malaysia dalam latihan  ketenteraan RIMPAC 2024 dan mendesak agar menarik diri dengan serta-merta.

“Sehubungan itu, LAPP dengan tegas mendesak PMX dengan kuasa yang diamanahkan kepadanya untuk menarik balik serta-merta penyertaan Malaysia dalam latihan ketenteraan RIMPAC 2024 yang disertai rejim haram pengganas Israel,” tegasnya lagi.

Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap nasib yang menimpa saudara Islam di Gaza yang terus berhadapan pembunuhan beramai-ramai rejim pengganas itu untuk menyatakan bantahan yang serupa kepada PMX. 

“Pasti, solidariti dan keprihatinan kita buat Gaza dan Palestin tiada kompromi dan tidak hanya manis di bibir sahaja,” katanya. 

Semalam, 15 kumpulan yang diketuai oleh pergerakan global anti-Israel di Malaysia iaitu Boycott, Divestment, Sanctions (BDS Malaysia) telah mengeluarkan kenyataan bersama mendesak Malaysia agar menarik diri serta-merta daripada RIMPAC 2024. – HARAKAHDAILY 1/6/2024

- Advertisement -