KANGAR: Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima kunjungan hormat Kuasausaha Sementara Kedutaan Besar Afghanistan di Malaysia, Naqibullah Ahmadi.
Naqibullah Ahmadi yang berada di negeri ini sempena lawatan kerja itu, berkesempatan bertukar-tukar pandangan mengenai hal ehwal agama Islam dan kemasyarakatan di Afghanistan dan Perlis.
Beliau turut menyaksikan sendiri keprihatinan dan penglibatan Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam menyantuni golongan yang kurang bernasib baik di negeri ini
Tuanku Syed Faizuddin dalam titahnya merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs) mengingatkan semua umat Islam agar sentiasa peka dan sensitif terhadap penderitaan saudara seagama di Palestin.
Baginda menegaskan bahawa salah satu tanda keimanan seseorang Muslim adalah cintakan saudara seagama.
“Alhamdulillah, di Perlis seluruh masjid masih membacakan qunut nazilah pada setiap solat fardhu dan kita berharap agar Allah SWT memberikan kemenangan kepada mereka,” titah baginda di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail (MTSPJ), di sini semalam.
Lawatan diadakan sempena Majlis Sumbangan Agihan Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada seramai 140 orang asnaf terpilih.
Sumbangan diberikan kepada 70 orang dari kariah MTSPJ dan 70 orang lagi dari kariah Repoh, masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM700.
Selain itu, penerima juga mendapat saringan kesihatan percuma daripada Jabatan Kesihatan Negeri dan mendengar ceramah bertemakan ‘Bangun Jiwa Asnaf’.
Program tersebut bertujuan memberikan semangat dan dorongan kepada mereka untuk keluar dari kepompong kemiskinan. – HARAKAHDAILY 1/6/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!