Program Newwor semarak nilai warisan ke taraf antarabangsa

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Penganjuran program Newwor @ Kampung Budaya Terengganu 2024 memartabat dan menyemarakkan nilai warisan ke taraf antarabangsa dengan menjadikan kebudayaan sebagai salah satu ikon pelancongan negeri.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong berkata, program pakatan strategik antara agensi kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan serta pihak swasta itu kembali mempromosikan Kampung Budaya Terengganu sebagai sebuah muzium hidup bagi seni budaya dan warisan negeri.

Tambahnya, ia secara tidak langsung turut menjadi pemangkin bagi merangsang perkembangan industri pelancongan dan kebudayaan Negeri Terengganu.

“Untuk makluman semua, perkataan ‘Newwor’ merujuk kepada satu perkataan dalam dialek Terengganu yang membawa maksud bersiar-siar ataupun jalan-jalan.

“Manakala, Newwor @ Kampung Budaya Terengganu merupakan acara tahunan Kampung Budaya Terengganu sejak tahun lepas yang menjadi sebuah acara bersiar-siar dari satu stesen ke stesen yang terdiri daripada pelbagai jenis pameran, permainan, demonstrasi, persembahan dan jualan yang berlangsung di tapak program,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Newwor @ Kampung Budaya Terengganu, di kompleks muzium negeri, di sini, semalam. Hadir sama Pengurus Besar Kampung Budaya Terengganu, Ahmad Fathil Abd Ghani.

Menurut Sulaiman, program itu juga diadakan bagi memberi galakan kepada generasi muda untuk mengenali, mempelajari, mendalami serta mewarisi kebudayaan dan kesenian seterusnya menjalinkan kesinambungan warisan supaya tidak lapuk ditelan zaman dalam arus pemodenan.

“Kanak-kanak dan remaja adalah penerus legasi kita. Jika kita tidak mengembangkan minat dalam kalangan anak muda terutamanya kanak-kanak, mereka akan menjadi dewasa yang tidak terdedah kepada seni budaya mereka sendiri,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut menyeru kepada semua masyarakat Melayu, Cina, India tanpa mengira peringkat umur sama ada anak muda mahupun golongan dewasa dan warga emas untuk hadir ke Kampung Budaya Terengganu.

“Hadir sama-sama untuk mempelajari, merasai dan mencuba sendiri segala aktiviti seni dan budaya yang disediakan di sini seperti permainan gasing, kaki hantu, seni muzik gamelan dan sebagainya,” katanya.

Sulaiman juga berharap agar penganjuran program yang berteraskan seni, budaya dan warisan itu akan terus diperkasakan dan dimartabatkan seiring dengan kemajuan ekonomi dengan kesepakatan di antara Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Kampung Budaya Terengganu, Palms Garden Resort Sdn. Bhd., MOTAC, Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Polis Diraja Malaysia, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, Tourism Malaysia Wilayah Timur, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, media cetak dan juga media sosial serta semua pihak yang terlibat. – HARAKAHDAILY 1/6/2024

- Advertisement -