ARAU: Yang Dipertua PAS Kawasan Arau, Solahhudin Azmi menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan ahli dan amilin PAS ketika berucapan pada Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kali Ke-50, hari ini.
Solahhudin mengimbas kembali kejayaan besar PAS di Arau, di mana parti itu berjaya memperoleh majoriti kemenangan lebih 35,000 undi pada PRU15 yang lalu.
Beliau menganggap kemenangan itu sebagai anugerah besar daripada Allah SWT hasil daripada pengorbanan ahli dan amilin yang berjuang demi parti.
“Ustaz Fadzil Noor pernah menyebut, jika masuk PAS untuk kemewahan, tiada apa dalam PAS. Dalam lagu kita pun ada sebut, berkorbanlah wahai yang beriman dengan harta dan segala kepunyaan.
“Ini menjadi sunnah kita dalam perjuangan,” katanya pada majlis yang berlangsung di Kompleks PAS Negeri Perlis (KOMPAS), di sini.
Beliau turut mengingatkan para sahabat yang menang untuk bersabar dengan kemewahan dunia diterima mereka, kerana kemenangan ini dianugerahkan oleh Allah.
Solahhudin menyeru mereka untuk melihat kepada golongan bawahan parti dan mengakui pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh para amilin tersebut.
“Kita perlu bertanya pada diri sendiri, adakah kita sudah memberikan khidmat terbaik kepada amilin dan pengundi yang mengundi kita. Setiap tingkah laku kita akan diperhati oleh rakyat di bawah,” ujarnya lagi.
Solahhudin juga mengingatkan bahawa perjuangan selama 50 tahun untuk mencapai kemenangan ini adalah hasil daripada sokongan dan pilihan rakyat.
Jelas beliau, ia bukan semata-mata kerana kebijaksanaan atau kehebatan peribadi calon, tetapi kerana mereka merupakan calon PAS yang diamanahkan oleh rakyat. – HARAKAHDAILY 1/6/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!