Kelantan gubal dasar perumahan baharu

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sedang menggubal dasar perumahan yang baharu untuk menggantikan Dasar Perumahan Mampu Milik yang telah dibuat sejak tahun 2020.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, setiap dua tahun sekali, dasar perumahan akan diperbaharui dengan mengambil kira faktor-faktor terkini terutama dari segi kos pembinaan.

Menurutnya, ia bertujuan untuk memastikan rumah yang dibina mencukupi, berkualiti, mampu dimiliki serta berlandaskan ciri-ciri Islam demi menjamin keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

“Bersesuaian dengan penduduk Kelantan yang makin bertambah, kerajaan negeri merasakan ianya perlu digubal untuk memberi kesesuaian pada orang ramai,” katanya mewakili Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang, Ustaz Mohd Nassuruddin Daud ketika merasmikan Kempen Pemilikan Pameran Rumah peringkat Negeri Kelantan (MAPEX) di ruang legar KB Mall, petang kelmarin. 

Beliau juga mengingatkan rakyat Kelantan membeli rumah dengan pemaju berlesen demi menjamin keselamatan dan masa depan pembeli.

Ini katanya, kerana progres pembinaan rumah oleh pemaju berlesen sentiasa dipantau selia oleh pihak kerajaan.

Tambahnya, kerana itu pembeli lebih selamat dari menjadi mangsa penipuan memandangkan progres pembinaan sentiasa dipantau.

“Faktor ini mesti diambil kira oleh pembeli untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan pemaju yang tidak bertanggungjawab”, ujarnya

ADUN Guchil itu juga berkata, pemaju perumahan berlesen diwajibkan oleh undang-undang supaya menyediakan kemudahan Infrastruktur asas yang lengkap seperti bekalan air, elektrik, sistem perparitan dan saliran serta pili bomba.

Menurutnya, fasiliti itu antara syarat dan undang-undang yang mesti disediakan pemaju agar ianya tidak terbeban pada pembeli sebaik sahaja kediaman itu siap kelak.

“Manakala bagi projek yang besar, pemaju wajib menyediakan kawasan lapang, taman permainan serta surau untuk keselesaan kepada pembeli,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/6/2024