Kedaulatan undang-undang: PN junjung kasih komitmen Tunku Ismail

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menyambut baik dan menjunjung kasih atas kenyataan berprinsip Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkait siasatan kes seorang anggota pengiring yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya terhadap seorang orang awam di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 28 Mei lepas.

- Advertisement -

“PN percaya komitmen baginda kepada kedaulatan serta proses undang-undang, menolak tindakan atau ugutan yang menyalahinya, serta jaminan keadilan kepada mangsa adalah sesuatu yang diharapkan oleh semua rakyat dalam sebuah negara yang demokratik dan bermaruah,” ujar Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan.

Menurutnya, selain merupakan cerminan kepada mutu kepimpinan baginda, komitmen sedemikian dalam kalangan anggota serta pegawai kerajaan juga boleh menjadi obor harapan bahawa negara berupaya pulih daripada kesan buruk penyakit kronisme, pendakwaan terpilih, kolusi, salah guna kuasa dan sebagainya yang menjangkiti kita sejak sekian lama.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu menambah, tanpa komitmen dan keazaman politik yang kukuh, semua cakap-cakap, slogan atau impian sebuah masyarakat dan negara yang berintegriti, maju, adil serta telus akan kekal sebagai kata-kata, slogan dan impian tanpa pengisian serta pembuktian.

Dalam pada itu, ujarnya PN turut mengalu-alukan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bahawa pasukan itu sedang menjalankan siasatan menyeluruh kes berkaitan dan pihak-pihak terbabit akan dipanggil ke Bukit Aman bagi membantu siasatan.

“Jaminan beliau bahawa tiada pelaku akan dibenarkan terlepas daripada tindakan tegas tanpa kompromi serta komitmen pasukan untuk mempertahankan keadilan dan melindungi hak individu juga disambut baik,” katanya yang juga Ketua Kluster Keselamatan PN.

Tunku Mahkota Ismail dalam satu kenyataan semalam menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap kejadian seorang pengiring keselamatan yang didakwa memukul pemandu e-hailing yang juga orang kurang upaya pada Selasa lalu.

Baginda menegaskan, tidak sesekali membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang berlaku.

“Merujuk kepada kejadian yang berlaku di St Regis Hotel Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu, saya telah dimaklumkan pada hari berikutnya dan dengan segera menggesa pasukan pengiring keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bekerjasama dengan pihak penyiasatan,” ujar baginda.

Sehubungan itu, baginda tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang serta menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh berkaitan kejadian seorang pegawai polis pengiring yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya.

Tunku Mahkota Ismail berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang dan memberi keadilan sebaiknya kepada mangsa. – HARAKAHDAILY 1/6/2024

- Advertisement -