KUALA LUMPUR: “Respons pramatang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggambarkan bahawa kerajaan tidak mengambil berat kerunsingan rakyat, yang menagih sebuah perubahan besar dalam pentadbiran kerajaan yang dulunya menjadi zikir dan laungan oleh Perdana Menteri.”
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata demikian ketika menzahirkan rasa kecewa terhadap beberapa respons balas yang masih tidak menunjukkan satu tatakelola yang baik dalam dalam pentadbiran kerajaan yang ditadbir Pakatan Harapan (PH).
“Lebih mengejutkan, pendedahan terbaru berkenaan syarikat yang terpalit ini adalah kesemua yang berkait rapat dengan ‘hubungan rapat’ mereka yang berkaitan dengan ‘kroni’ PH,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
Ia adalah susulan tular berkenaan isu tender rundingan terus yang diperoleh Asia Mobility Technologies Sdn. Bhd. (Asia Mobility) sebagai pengendali Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) daripada kerajaan Selangor.
Terdahulu, Asia Mobility telah dikaitkan dengan pemilik kepentingan syarikat itu, Ramachandran Muniandy yang juga suami kepada Menteri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
“Ternyata, retorik Kerajaan Madani yang dipimpin Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) semakin meresahkan, tatkala rakyat dihimpit dengan kenaikan kos hidup akibat dasar yang celaru oleh pihak kerajaan.
“Dalam masa yang sama tangan-tangan rapat sibuk membahagikan laba dan ghanimah sesama mereka,” tambah Ahmad Fadhli.
Sehubungan itu, beliau turut mempersoalkan adakah semua ini berlaku bagi mengiyakan slogan dan terjemahan ‘Maha Kaya’ yang mahu dimaksudkan oleh PMX dalam semua siri pidatonya bersama rakyat?
“Sedarlah, rakyat tidak mahu ditadbir oleh seorang pemidato…tetapi mahukan seorang yang jujur dan tidak bohong dalam mentadbir negara ini,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan medianya memaklumkan bahawa siasatan interim pihaknya terhadap kaitan antara Asia Mobility dan DRT, mendapati tiada salah guna kuasa melibatkan Hannah Yeoh. – HARAKAHDAILY 1/6/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!