Fan Bingbing: Tiada orang Melaka layak jadi ikon?

- Advertisement -

AYER KEROH: Kerajaan Negeri Melaka bertindak melantik Fan Bingbing, seorang artis antarabangsa kelahiran China dilihat sesuatu yang di luar kewajaran kerana tidak menggambarkan imej ‘orang Melaka’.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Melaka, Ustaz Wan Zahidi Wan Ismail berkata, pelantikan individu dari luar negara mempromosikan program rasmi memperkenalkan Negeri Melaka kepada dunia adalah sesuatu yang janggal dan pelik.

“Sewajarnya seseorang ikon itu haruslah berlatarbelakangkan penduduk asal Melaka yang ingin dipromosikan itu. Barulah ikon tersebut dapat menjadi gambaran apa itu masyarakat Melaka kepada dunia luar.

“Ramai lagi artis-artis tempatan, malah yang berasal dari Melaka sendiri boleh dijadikan ikon program Tahun Melawat Melaka ini dan lebih menggambarkan apa itu ‘orang Melaka’,” ujarnya.

PAS Negeri Melaka tegasnya, membantah tindakan tersebut yang dilihat tidak sesuai dengan latarbelakang negeri ini lebih-lebih lagi artis tersebut dikatakan terpalit dengan pelbagai isu dalam negaranya sendiri.

“PAS Melaka dengan ini mendesak kerajaan negeri agar mengkaji semula keputusan tersebut agar negeri ini tidak menjadi bahan jenaka oleh orang ramai dan boleh menjejaskan sambutan orang ramai terhadap Tahun Melawat Melaka 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka berkaitan isu tersebut hari ini.

Kata beliau lagi, kritikan orang ramai terhadap perkara tersebut boleh dilihat di media-media massa dan media sosial yang mempersoalkan kewajaran pelantikan artis tersebut bagi membawa peranan besar itu.

“Perlu diingat bahawa Melaka suatu waktu dahulu adalah empayar Islam yang menjadi pusat dakwah dan keilmuan Islam. Ia bukan pusat hiburan dan perfilemen seperti Hollywood dan Hong Kong.

“Justeru itu adalah amat menjengkelkan apabila kemuliaan yang telah terpahat buat Negeri Melaka dicemarkan oleh pengambilan ikon pelancongan yang langsung tidak menggambarkan kemuliaan imej negeri Melaka sebagai pusat dakwah dan keilmuan Islam,” katanya lagi.

Selain itu, tambah Ustaz Wan Zahidi, PAS Melaka turut menzahirkan kebimbangan bahawa pelantikan ini akan melibatkan kos yang besar kerana melibatkan seorang pelakon antarabangsa.

Kos tersebut ujar beliau, sepatutnya boleh disalurkan untuk membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan.

Kerajaan Negeri Melaka juga tambah beliau, sewajarnya lebih mengambil cakna isu seperti penutupan jalan di Bandar Hilir yang menyebabkan berkurangnya pelancong melawat ke kawasan bersejarah sedangkan sebelum ini menjadi tumpuan ramai. – HARAKAHDAILY 1/6/2024

- Advertisement -