ARAU: Ahli Parlimen Jerlun, Dr Abd Ghani Ahmad menekankan 12 prinsip asas sebagai tonggak perjuangan PAS bagi memastikan parti itu kekal memerintah hingga PRU16 akan datang.
Seru beliau, setiap ahli perlu mengekalkan prinsip dengar dan taat kepada arahan kepimpinan, serta membina kesatuan dalam kalangan ahli untuk mencapai matlamat bersama.
Beliau turut menekankan kepentingan memanfaatkan tenaga anggota parti di setiap peringkat, kerana masing-masing ahli memiliki kekuatan tersendiri.
“Contohnya seperti kemampuan memasak dan menjaga markas, tugas ini mungkin tidak mampu dilakukan oleh kepimpinan. Justeru amilin yang telah berkorban untuk parti tidak seharusnya dipinggirkan selepas kemenangan dicapai,” katanya.
Yang Dipertua PAS Kawasan Jerlun itu berucap merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Arau Kali Ke-50 di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS), di sini hari ini.
Beliau juga menegaskan kepentingan menempatkan petugas di posisi yang sesuai dengan keupayaan dan kebolehan mereka dengan mengambil contoh Rasulullah menugaskan Usamah bin Zaid untuk misi ketenteraan.
“Penampilan dan imej PAS yang selari dengan Islam perlu ditampilkan dengan pendekatan yang wajar untuk menarik minat masyarakat, termasuk mereka yang melihat PAS sebagai parti yang tidak membezakan darjat,” katanya lagi.
Antara lain beliau turut menekankan keperluan untuk memperkukuhkan setiap dewan dalam PAS di semua peringkat.
“Merujuk kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, walaupun dengan peratusan keluar mengundi rendah, tetapi sokongan orang muda kepada Perikatan Nasional (PN) masih kekal.
“Selain itu, isu-isu semasa yang menyentuh hati rakyat perlu diambil berat, di samping mendekati pengundi muda untuk mendapatkan sokongan mereka, “ujarnya.
Beliau juga mengingatkan betapa peranan orang lama dan amilin yang berjasa tidak harus dilupakan, sebaliknya perlu disantuni dan dibantu sebaik mungkin.
Abd Ghani turut mengimbas iktibar pernah berlaku dalam parti di mana perselisihan antara pimpinan membawa kepada perpecahan dan pembentukan parti baru.
“Manfaatkan media sosial kerana dunia sekarang berada di hujung jari dan segala maklumat dapat tersebar dengan pantas.
“Di samping itu, setiap ahli wajib terus bermunajat kepada Allah dalam keadaan susah atau senang, kerana kemenangan adalah ujian sejauh mana PAS mampu melaksanakan perintah Allah,” ujarnya lagi.
Beliau juga mengingatkan bahawa yang memimpin perlu bersabar dengan orang bawah, dan ahli di bawah pula perlu bersabar dengan orang atas.
Akhir sekali, Abd Ghani menegaskan kewajipan untuk terus mengeluarkan sumbangan dan infaq kepada jemaah, walaupun selepas mencapai kemenangan.
“Apabila sudah menang tidak perlu dah kutip derma, jangan merasa begitu. Duit kerajaan (adalah) duit rakyat umum. Ahli masih perlu berbakti kepada jemaah seperti mana sebelum ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/6/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!