
KUALA LUMPUR: “Saya menggesa pihak kerajaan untuk tidak menyertai latihan ketenteraan maritim antarabangsa Rim of the Pacific (RIMPAC) 2024 yang bakal diadakan pada dari 26 Jun hingga Ogos 2024.”
Ketua Penerangan PEJUANG, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, baru-baru ini kerajaan telah membenarkan Kapal Diraja (KD) Lekiu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk berlayar ke perairan Hawaii bagi menyertai latihan ketenteraan tersebut.
“Maka, saya menyatakan tidak wajar untuk kerajaan melakukan sebarang kerjasama dalam apa jua latihan ketenteraan yang melibatkan negara haram tersebut,” katanya kepada Harakahdaily.
Menurut beliau, negara haram Israel merupakan antara 29 buah negara yang akan menyertai latihan ketenteraan maritim antarabangsa RIMPAC 2024 ini.
Tambah beliau, kerajaan telah beberapa kali menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin itu sendiri terhadap kezaliman rejim Zionis Israel yang mana ianya dapat dibuktikan dengan tidak menyertai kerjasama ketenteraan tersebut.
“Majoriti rakyat Malaysia bersungguh-sungguh melakukan aktiviti boikot terhadap apa jua produk yang menyatakan sokongan terhadap negara haram Israel yang menyebabkan sebahagian daripada kedai mereka terpaksa ditutup.
“Jadi, kerajaan juga perlu melakukan perkara yang sama termasuklah menghentikan sebarang kerjasama ketenteraan sebagai bukti solidariti bersama-sama dengan rakyat Palestin itu sendiri.
“Walaupun kita mempunyai pandangan berbeza dalam ideologi politik tetapi apabila disentuh mengenai isu Palestin maka kita tidak mahu ada sebarang kerjasama dengan rejim Zionis Israel,” tegasnya.
Beliau menyatakan kerajaan masih boleh mengadakan kerjasama ketenteraan dengan negara-negara lain yang tidak menyokong negara haram Israel.
Beliau tidak mahu isu seperti penglibatan syarikat Lockheed Martin dan BAE Systems dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (DSA-NATSEC) Asia 2024 untuk terus berulang lagi pada masa akan datang.
“Kita semua sedia maklum bahawa kedua-dua syarikat tersebut telah bertanggungjawab membekalkan senjata kepada negara haram Israel dalam melakukan pembunuhan beramai-ramai (genosid) terhadap rakyat Palestin.
“Maka, saya tidak mahu kerajaan melakukan kesilapan yang sama lagi yang mana mereka boleh mengarahkan Kapal Diraja (KD) Lekiu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk patah balik ke dalam negara ini dan tidak menyertai RIMPAC 2024.
“Ini kerana kita tidak mahu berlakunya satu senario yang mana Perdana Menteri memeluk Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dan berbisik kepadanya bahawa boikot kerajaan Malaysia hanyalah satu penipuan,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/5/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!