Rekod Abang Zam jadi kelebihan buat Perikatan Nasional

Menjelang PRK N.20 DUN Sungai Bakap

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS tidak akan meletakkan jenteranya berada di kedudukan ‘zon selesa’, namun percaya dan yakin mampu mempertahankan kemenangan PERIKATAN NASIONAL (PN) di PRK N.20 Sungai Bakap.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, bagaimanapun keputusan mengenai parti yang akan bertanding mewakili PN di kerusi tersebut hanya akan dimuktamadkan oleh Mesyuarat Majlis Tertinggi PN.

Menurut beliau, ADUN Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff yang meninggal dunia minggu lalu, telah menunjukkan rekod dan pencapaian prestasi sepanjang sembilan bulan menjadi ADUN di situ.

Jelasnya, Almarhum yang terkenal dengan panggilan ‘Abang Zam’ itu sangat mesra dan sentiasa turun padang berada bersama masyarakat di mana hal tersebut memberi kelebihan kepada PN bagi pertandingan kali ini.

Pun demikian peringat beliau, kemenangan PN di DUN tersebut bersama kerusi-kerusi lain termasuk di peringkat Parlimen sebelum itu adalah pada PRN dan PRU15 lalu, yang tentunya berbeza dengan Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Kita akan menghadapi kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat yang dikuasai oleh mereka. Kita fahamlah apabila kerajaan negeri yang kuasai oleh Pakatan Harapan-DAP di Pulau Pinang dan Kerajaan Pusat yang dikuasai oleh PMX (Perdana Menteri Ke-10) hari ini.

“Maka sudah tentu bukan senang nak menghadapi PRK ni. Bukan kita lawan parti dengan parti. Kalau parti dengan parti insya-Allah kita mampu untuk berhadapan dengan agak mudah. Tapi kita berhadapan parti dengan kerajaan dan juga jentera kerajaan.

“Kawasan (Parlimen) itu pula diwakili Menteri Pendidikan, maka sudah tentulah mereka akan bermati-matian. Mati-matian ni bukan jentera parti, mati-matian ni menggunakan seluruh aset-aset awam untuk memastikan mereka memperolehi kemenangan.

“Walau bagaimanapun insya-Allah kita akan menghadapi pilihan raya ini dengan tekad yang penuh semangat gigih untuk pastikan kita kekal kemenangan,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai.

Ustaz Idris menegaskan, PAS tetap bersedia untuk menghadapi semua keadaan itu dan beliau selaku Mas’ul PAS Zon Utara telah mengadakan perjumpaan dengan jentera bersama Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa.

Katanya, Jentera PAS di DUN Sungai Bakap khususnya dilihat begitu bersemangat dan tersusun dengan struktur dan pelan rancangan yang sudah diatur serta kerja untuk menghadapi PRK itu nanti. – HARAKAHDAILY 31/5/2024

- Advertisement -
- Advertisement -