Rapid Rail catat rekod kendali sejuta penumpang sehari

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengendali perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT) dan monorel, Rapid Rail mencatatkan jumlah penumpang harian melebihi sejuta dalam tempoh enam bulan lebih awal daripada jangkaan ditetapkan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan syarikat induknya, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berkata, pencapaian membanggakan itu diraih pada 29 Mei lalu dan merupakan jumlah tertinggi yang diraih sejak penubuhannya.

- Advertisement -

“Rapid Rail amat berbangga kerana sasaran membawa sejuta penumpang sehari dicapai enam bulan awal daripada jangkaan ditetapkan.

“Bagi pencapaian jumlah yang direkodkan itu, laluan Kelana Jaya mencatatkan bilangan penumpang 287,102, laluan Ampang/Sri Petaling sebanyak 224,184 penumpang, laluan monorel 61,236 penumpang, laluan Kajang 274,302 penumpang dan laluan Putrajaya 157,767 penumpang,” ujar kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, angka tersebut menjadikan jumlah keseluruhan penumpang sebanyak 1,004,591, iaitu peningkatan lebih 35 peratus berbanding tarikh sama pada 2023 sebanyak 739,818 penumpang.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa lonjakan itu dipacu beberapa inisiatif syarikat iaitu proses penambahan kapasiti tren di Laluan Kelana Jaya dan Laluan Kajang, pembukaan semula perkhidmatan tren di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya bagi Laluan Ampang/SriPetaling yang sebelum ini ditutup akibat kerosakan struktur jejambat, selain pembukaan beberapa lokasi tarikan baru di sepanjang jajaran rel.

“Inisiatif lain adalah beberapa acara berskala besar di sekitar stesen rel dan musim cuti sekolah turut menyumbang kepada peningkatan jumlah penumpang,” tambah kenyataan itu.

Rapid Rail berkata, pencapaian itu juga adalah bukti sokongan padu diterima syarikat, khususnya daripada warga Lembah Klang yang setia menggunakan perkhidmatan rel setiap hari.

“Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penumpang di atas sokongan berterusan terhadap perkhidmatan disediakan.

“Kejayaan ini akan menjadi titik pengukur baharu untuk Rapid Rail sentiasa menyediakan perkhidmatan lebih baik, selain dapat menarik lebih ramai pengguna untuk beralih kepada pengangkutan awam,” katanya. –HARAKAHDAILY 31/5/2024 

- Advertisement -