PRK Sungai Bakap: Apa kebimbangan PMX dan DAP?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PRK N.20 DUN Sungai Bakap bukan sahaja penting untuk PERIKATAN NASIONAL (PN) mempertahankan kemenangan, tetapi juga kepada Pakatan Harapan (PH) yang mahu merampas kerusi tersebut kembali.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, ini kerana ia dilihat berada di negeri Perdana Menteri, malah hinggakan PKR juga pernah dianggap sebagai parti untuk Permatang Pauh semasa era Reformasi dahulu.

Juga menurut beliau, kerana berlangsung di negeri yang dimiliki oleh DAP di mana parti tersebut kononnya terkenal memperjuangkan ketelusan dan integriti dengan menentang nepotisme dan kronisme.

Namun hakikatnya ujar beliau, DAP bukan sahaja menyentuh isu-isu sensitif berkaitan Melayu-Islam, tetapi dilihat telah menjadi sebaliknya apabila terpalit dengan masalah berkaitan integriti, nepotisme dan kronisme.

“Kononnya mereka hebat sangat mereka memerintah negeri sampai dikagumi oleh Melayu liberal dalam PH yang mempertahankan DAP sebagai parti yang menegakkan keadilan sosial, pemimpin antirasuah, anti kroni, nepotisme.

“Itu semua terbongkar satu demi satu apabila kes-kes yang mutakhir berlaku kita tengok kes Asia Mobility di Selangor kan? Sebab itu kita ni bila DAP duk bercakap soal integriti kita gelak ja sebab kita kenal mereka.

“Kita tahu apa yang mereka bercakap itu hanya untuk kepentingan politik mereka semata-mata. Tapi kita tahu mereka itu siapa dan sekarang ni terbuktilah ‘walaupun mereka sembunyi naik atas langit’ macam kata pepatah Arab,” bidasnya.

PN bagaimanapun kata Ustaz Idris, tidak mempunyai kuasa untuk bertindak atas unsur rasuah dilakukan PH termasuk menyekat rasuah politik dalam pilihan raya dilakukan sebagaimana dituduh ke atas PN.

Jelas beliau, perkara tersebutlah menyebabkan berlakunya PRK Kuala Terengganu dan PRK Kemaman kononnya program oleh Kerajaan Negeri Terengganu dikaitkan rasuah, namun keputusan mahkamah itu dihormati.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, bagaimanapun pengundi di kedua-dua pilihan raya itu akhirnya menghukum Barisan Nasional (BN) yang menjadi calon mewakili koalisi tersebut walau rakyat ditabur pelbagai janji rasuah politik ketika itu.

Beliau percaya pada PRK Sungai Bakap nanti PH akan mengulangi rasuah politik seumpama dengan mengumumkan pelbagai janji dan mengisytihar pelaksanaan projek-projek yang jika dipersoal pasti dijawab telah lama dirancang.

“Sebab itu pada saya, kalau bolehnya pilihan raya macam tu ada tiap-tiap minggu pun tak apa. Baru projek itu diisytiharkan di tempat masing-masing. Jadi, macam mana rakyat tak meluat bila tengok kamu (PH)?

“Dulu bercakap lain, bagai nak rak dunia ni (tuduh orang rasuah). Tiba-tiba bila kamu pula hari ni, kamu buat apa yang kamu tak suka dahulu,” kecam beliau menegaskan bahawa PN tidak akan memberi laluan mudah kepada PH-BN.

Ustaz Idris juga percaya DAP akan bertemu pengundi-pengundi bukan-Melayu dengan membawa sentimen-sentimen berunsur perkauman termasuk momokan mengenai ‘gelombang hijau’ yang mesti disekat. – HARAKAHDAILY 31/5/2024

- Advertisement -
- Advertisement -