PRK Sungai Bakap: PH peralat jentera kerajaan lagi?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PRK N.20 DUN Sungai Bakap walaupun belum diisytiharkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), namun Pakatan Harapan (PH) dilihat akan mengulangi perbuatan sama seperti dalam PRK-PRK sebelumnya.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, PH akan menggunakan segala aset yang ada di mana PERIKATAN NASIONAL (PN) nanti bukan lagi berlawan dengan parti, tetapi berhadapan dengan kerajaan dan jentera kerajaan.

Menurut beliau, perkara tersebut telahpun dilakukan PH dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu, DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai, DUN Pelangai, Parlimen Kemaman dan terbaharu di DUN Kuala Kubu Baharu.

“Paling menariknya, apa yang mereka hentam, mereka kutuk kepada kerajaan dahulu Barisan Nasional, (tetapi kini) mereka buat balik (perangai itu). Itu yang menyebabkan orang-orang ‘melugai’ apabila dengar mereka bercakap.

“Soal integriti, soal reformasi, soal Islam. Rakyat kata nak muntah nak dengar (mereka sebut) tatakelola, dah jadi tata ke laut! Itu dilihat akan berulang di Sungai Bakap nanti,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai.

Perkara tersebut juga akuinya, menyebabkan rakyat terutama kalangan yang tidak berparti mudah merasa kecewa dengan politik dan meluat kepada ahli-ahli politik hingga ada bersikap enggan menunaikan kewajipan mengundi.

Ketidakyakinan mereka yang juga disebut golongan atas pagar itu jelasnya, adalah pandangan orang awam di mana telah secara pukul rata menganggap semua pemimpin politik sebagai mempunyai sikap sama.

“Maka sebab itulah PAS dan PN ni cuba untuk nak educated memberitahu rakyat bahawasanya kena keluar mengundi. Kamu protes pun, mesti jangan sampai tidak keluar mengundi. Itu rugi sebenarnya.

“(Sebab) Apabila orang baik-baik, orang ada pengetahuan, ada moral, ada akhlak, tapi tak keluar mengundi, maka amat rugi. Kerana nanti akan dilantik ialah terdiri dari kalangan orang tidak bermoral, tidak ada integriti, yang bercakap lain buat lain,” nasihatnya.

Beliau mengakui hal tersebut sebagai kerja agak berat untuk dilaksanakan supaya para pengundi berkenaan menunaikan tanggungjawab mereka, namun berharap peranan dan kerjasama daripada ahli-ahli masyarakat yang lain termasuk NGO-NGO.

“Walaupun kita marah dengan apapun penipuan yang wujud pada hari ini. Namun janganlah sampai kita menjadi orang-orang yang meninggalkan tanggungjawab kita sebagai pengundi di negara ini,” ujarnya.

Ustaz Idris secara sinis mengajak rakyat untuk sedari awal memahami setiap ucapan pimpinan PH secara terbalik sebagaimana membaca tulisan ‘ambulans’ dari penglihatan cermin pandang belakang kereta agar mereka tidak kecewa. – HARAKAHDAILY 31/5/2024

- Advertisement -
- Advertisement -