Isu OKU dipukul: PN gesa polis teruskan siasatan 

Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menyokong penuh kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim bahawa pihak polis perlu meneruskan siasatan berhubung dakwaan pengawal peribadi kerabat diraja memukul seorang pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU).

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata kes terbabit tidak boleh dianggap ‘selesai’ hanya kerana pengadu yang merupakan mangsa dalam kejadian itu enggan memanjangkan perkara tersebut. 

- Advertisement -

“Berbeza dengan kes sivil yang boleh dihenti dan diselesaikan pada bila-bila masa atas persetujuan bersama pihak-pihak terlibat, kes jenayah terutama di bawah Kanun Keseksaan perlu disiasat dan diambil tindakan mengikut undang-undang sebaik sahaja laporan mengenainya dibuat.

“Prinsip kedaulatan undang-undang serta peranan pihak berkuasa sebagai pelindung kepentingan awam perlu dipertahankan serta dilihat diamalkan dalam semua keadaan tanpa mengira kedudukan, pengaruh mahupun status pihak terbabit,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, PN percaya bahawa isu seperti pendakwaan terpilih, pilih kasih, kronisme, buli institusi, ‘jerung dan bilis’ dan lain-lain sudah membusuk kerana begitu lama mengisi ruang bicara awam tanpa penyelesaian tuntas.

“Ia turut mewarnai hampir keseluruhan landskap serta suhu politik kita, termasuk imej negara di mata dunia.

“Keadaan ini jelas menimbulkan rasa tidak selesa dan tidak percaya yang meluas terutamanya terhadap kemampuan kerajaan dan pihak berkuasa melindungi hak rakyat dan menjamin terlaksananya keadilan untuk semua bawah undang-undang kita,” ujarnya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, kegagalan pihak berkuasa bertindak mengikut tuntutan undang-undang akan terus memburukkan tanggapan sedia ada terhadap kes semasa yang dibangkitkan oleh Hassan Karim, terutama dalam isu berkait tahap profesionalisme dan mutu perkhidmatan.

Justeru, katanya, PN sekali lagi menyokong penuh gesaan Hassan agar pihak polis meneruskan siasatan kes dan mengambil semua tindakan perlu mengikut undang-undang bagi memastikan hak dan kesejahteraan semua rakyat dihormati seutuhnya.

“Masyarakat yang gagal membela serta melindungi anggotanya yang kerdil dan daif akan musnah di tangan anggotanya yang angkuh dan didewakan,” katanya.

Terdahulu, Hassan menegaskan dari segi undang-undang jenayah tiada istilah kes telah selesai walaupun mangsa membuat laporan polis kedua menyatakan bahawa kes selesai.

Beliau menjelaskan, apabila sesuatu laporan polis dibuat maka dokumen itu dipanggil sebagai ‘first information report’ (FIR).

Hassan berkata, sebaik sahaja menerima laporan, jika kesalahan itu merupakan serangan fizikal ke atas diri seseorang dan merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan, maka tugas polis ialah memanggil pihak yang menyerang mangsa itu untuk disiasat. 

Terdahulu, media tempatan melaporkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dalam satu kenyataan pada Rabu (29 Mei) sebagai berkata, pemandu kenderaan e-hailing  terbabit mendakwa telah ditumbuk di kepalanya oleh seorang pengawal keselamatan rombongan kenamaan, di lobi sebuah hotel di Brickfields, di sini, pada Selasa (28 Mei) lepas.

Pengadu yang merupakan seorang pemandu Grab dari kalangan orang kurang upaya (OKU) berusia 46 tahun itu kemudian membuat laporan polis pada kira-kira jam 1 petang hari yang sama (28 Mei) selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Namun, tambah Rusdi pada hari yang sama, Selasa (28 Mei), kira-kira pada jam 9.59 malam, pengadu telah membuat laporan polis kedua menyatakan telah menyelesaikan perkara yang berlaku secara baik, serta tidak mahu memanjangkan kes tersebut.

“Kejadian tersebut berlaku disebabkan salah faham arahan pergerakan mengalihkan kenderaan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” kata Rusdi. – HARAKAHDAILY 31/5/2024

- Advertisement -