Gangguan bekalan air di Gual Jedok hanya berkala

- Advertisement -

KOTA BHARU: Gangguan bekalan air di Kampung Gual Jedok dan Gual Kubur, Tanah Merah yang melibatkan 200 penduduk bersifat berkala serta sementara sahaja.

- Advertisement -

Menurut Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), masalah itu mula serius sejak tiga bulan lalu di mana punca bekalan air yang diterima dari Loji Rawatan Air (LRA) Batu Gajah serta Air Tandak Bergraviti di Lata Tarung yang dibina penduduk kampung.

Katanya, permintaan bekalan air semasa yang tinggi berbanding penawaran dan nisbah kehilangan air terawat agak tinggi hampir 65 peratus antara punca masalah tersebut.

Selain itu penggunaan paip utama bersaiz kecil, paip lama jenis asbestos cement (AC) dan kekurangan air tandak serta graviti air di Lata Tarung antara punca bekalan air bersih di kedua-dua kampung tersebut terjejas.

“Antara tindakan jangka pendek dan jangka panjang bagi mengatasi bekalan air di kawasan tersebut termasuk Pakej Penukaran Paip di bawah Projek Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) bermula dari LRA Batu Gajah sehingga Tangki Air Batu, Layang Pepuyu.

“Ia melibatkan penukaran paip sepanjang 8 km. Selain itu, AKSB juga dalam perancangan menaik taraf sumber bekalan air di LRA Batu Gajah, daripada 2.7 Juta Liter Sehari (JLH) kepada 12.5 JLH serta membaik pulih loji yang lama seterusnya pembinaan LRA yang baharu berkapasiti 10 JLH,” katanya pada kenyataan hari ini.

AKSB juga akan memaklumkan perkembangan lanjut situasi tersebut dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi kami seperti laman sesawang www.airkelantan.com.my, aplikasi MyAKSB, Facebook dan Instagram.

Atau boleh hubungi PINTAS di talian 15777 jika pengguna mempunyai sebarang pertanyaan dan aduan. – HARAKAHDAILY 31/5/2024

- Advertisement -