Aktiviti pertanian diambil alih teknologi robotik

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sektor pertanian perlu menggunakan kaedah lebih moden termasuk penggunaan dron bagi menggantikan cara konvensional seiring dengan arus digitalisasi.

- Advertisement -

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Ts Dr Arham Abdullah berkata, mengaplikasikan penggunaan teknologi baharu yang lebih canggih bagi menjamin hasil pengeluaran lebih baik dan mapan.

Katanya melalui kaedah itu bagi memastikan sumber pertanian yang dihasilkan dapat menjamin kecukupan bekalan dalam konteks keterjaminan makanan.

Selain itu sistem pengairan dan pembajaan juga ditambah baik dengan penggunaan kaedah ‘internet of things’ atau lebih dikenali sebagai IoT.

“Sebelum ini kita tidak pernah terfikir wujud alat seperti drones yang dapat terbang dan membantu aktiviti pertanian seperti pembajaan dan pengairan.

“Pada masa akan datang tidak mustahil lebih banyak lagi kerja-kerja pertanian diambil alih oleh teknologi robotik yang dipacu oleh revolusi industri,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian pada perasmian Karnival Industri Asas Tani (AGX) 2024 bertemakan Pertanian Lestari: Memelihara Keterjaminan Makanan di Dewan Utama, UMK Kampus Jeli, hari ini.

Turut hadir, Pengarah UMK Kampus Jeli, Prof. Dr. Aweng a/l Eh Rak dan Dekan Fakulti Industri Asas Tani (FIAT), Prof Madya Dr Seri Intan Mokhtar dan Ketua Pertanian Bersepadu, FGV Holding Berhad, Abdul Razak Aya.

Sementara itu Dr Seri Intan berkata, penganjuran AGX’24 edisi ke-7 FIAT diadakan dengan kerjasama FGV Intergrated Farming Holdings Berhad (FGV-IF Holdings Berhad) sebagai rakan strategik.

Katanya, karnival berkenaan  menyasarkan seramai 20,000  pengunjung yang terdiri daripada pelajar UMK, pelajar universiti awam dan swasta dari seluruh Kelantan.

“Selain itu, program ini turut melibatkan kerjasama dengan agensi kerajaan dan pihak swasta termasuk Kerajaan Negeri, Politeknik Jeli, PNU, Thailand, YRU Thailand, Persatuan Petani Penternak Negeri Kelantan (PPPNK), MARDI, FRIM, KADA dan FAMA.

Tambah beliau, kepentingan isu pertanian lestari dan keterjaminan makanan menyebabkan UMK lebih awal memperkenalkan program Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Jaminan Makanan di bawah Fakulti Industri Asas Tani pada tahun 2016.

Katanya, sehingga sekarang FIAT berjaya melahirkan 350 graduan dalam bidang Jaminan Makanan.

“FIAT menyediakan pelbagai khidmat perundingan melibatkan agensi setempat dalam bidang nutrisi makanan dan reproduktif haiwan.

“Selain itu menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi tempatan dan institusi antarabangsa,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/5/2024

- Advertisement -