TVET boleh bantu sambut ledakan industri Johor

- Advertisement -

MUAR: Silibus persekolahan perlu ditambah baik dengan memberi tumpuan dan penekanan kepada bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Abdul Aziz Talib berkata, ia adalah untuk mempersiapkan rakyat Johor bagi menampung perkembangan kemajuan ekonomi negeri yang semakin meningkat.

“Rakyat harus bersedia untuk mengambil peluang. Terbaru Kerajaan Johor umumkan jumlah pelaburan masuk sebanyak RM113.7 bilion. 

“Dan dianggarkan pelaburan ini turut membawa 35,000 peluang pekerjaan sehingga 2030 terutama bagi Zon Ekonomi Khas,” katanya.

Tambahnya, pembukaan industri-industri berteknologi tinggi juga memerlukan ramai pekerja mahir dalam bidang TVET.

Beliau berkata kepada Harakahdaily dalam wawancara khas di Pusat Khidmatnya, di sini, kelmarin sebagai mengulas ucapan beliau semasa perbahasan Sidang DUN Johor baru-baru ini.

Tambah Abdul Aziz, dalam titah perasmian pada persidangan tersebut, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultam Ibrahim mahu supaya silibus matapelajaran sekolah dikaji dan yang tidak relevan diperbaharui.

Kerana itu, beliau mencadangkan agar kerajaan memberi penekanan kepada TVET sekiranya silibus sedia ada dirombak.

“TVET ini sekarang sangat diperlukan. Pendidikan TVET ke sekolah-sekolah perlu diperluaskan. Khususkan setiap satu sekolah ambil satu bidang dari segi teknikal. Sebab pelajar-pelajar suka. Sesetengah pelajar sukar menguasai bidang pelajaran bersifat teori. 

“Kalau TVET ini diberikan penekanan, sekurang-kurangnya pelajar-pelajar yang memang dah tak boleh nak kuasai ilmu teori ini, mereka boleh menguasai subjek bersifat teknikal dan praktikal,” ujarnya.

Tambahnya, selepas tamat persekolahan, pelajar-pelajar yang menguasai TVET itu boleh menyambung pengajian atau memasuki bidang pekerjaan. 

“Jadi saya harap sistem TVET ini diperluaskan. Begitu juga yang terbaru ni Articial Intelligence (AI), itupun perlu diperkenalkan secara menyeluruh di sekolah. 

“Kalau ilmu AI ni perkenalkan insya-Allah ia boleh memberikan impak yang baik. Sebab pelajar-pelajar sekarang minat ilmu ni,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/5/2024

- Advertisement -