Tujuh kekuatan untuk bina semula jati diri Muslim

- Advertisement -

KANGAR: Dalam usaha memperkukuhkan jati diri berteraskan Al-Quran dan Al-Sunnah, tujuh kekuatan utama perlu dikuasai oleh setiap individu Muslim.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli menekankan perkara itu dalam ucapannya sempena Seminar Antarabangsa Peradaban Ummah: ‘Islam Jati Diri Melayu’ di Mess Pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini hari ini.

Ujarnya, kekuatan jihad adalah penting untuk membela dan mempertahankan hak bagi memperoleh kehidupan yang baik, mulia dan merdeka.

Selain itu katanya, kekuatan akidah yang kukuh akan memastikan kepercayaan dan keyakinan individu tidak mudah dipengaruhi oleh faktor luaran.

“Kekuatan ilmu pengetahuan adalah tonggak utama dalam mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Pengetahuan yang mendalam akan membawa manusia lebih dekat kepada Allah SWT,” katanya.

Menurut beliau yang juga ADUN Sanglang, orang berilmu diberi kedudukan tertinggi di sisi Allah, sepertimana disebut dalam ayat 11 surah Al-Mujadalah.

Selain itu, Mohd Shukri juga menekankan kepentingan kekuatan akhlak dan jati diri di mana akhlak yang mantap adalah simbol kepada kemantapan akidah.

“Proses pembentukan akhlak yang sempurna bergantung kepada pembentukan aqidah yang kukuh,” jelas beliau.

Beliau turut menekankan kekuatan perdamaian, iaitu usaha bersama melaksanakan perpaduan yang berteraskan hormat-menghormati antara satu sama lain.

Akhir sekali katanya, kekuatan ekonomi yang konsisten dalam mencari kekayaan melalui sumber alam dan kekayaan bumi mengikut syariat Islam adalah penting untuk digunakan secara adil dan bijaksana.

“Islam adalah ciri kekuatan bangsa Melayu. Usaha menguatkan orang Melayu dengan unsur-unsur lain selain Islam hanya akan melemahkan mereka.

“Bangsa Melayu juga tidak mudah mengalah demi mempertahankan Islam,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 30/5/2024

- Advertisement -