(Travelog) Dari Blantyre ke Mangochi

Menjelang musim Haji dan Aidiladha 2024

- Advertisement -

9 JULAI 2022 – Sabtu

- Advertisement -

Kami bangun awal hari ini. Jam 2:30 pagi aku tersedar dari tidur. Ya, tubuh masih menggunakan ‘sistem’ waktu Malaysia. Maksudnya kalau di tanah air, jam sebenar adalah 8:30 pagi, maka sistem tubuh sudah ‘membaca’ ia waktu yang amat lewat untuk bangun tidur. 

Kalau di Malaysia, jadual harian diriku bermula 5:15 atau 5:30 pagi, maka sudah pasti 2:30 pagi waktu Blantyre (8:30 pagi waktu Malaysia), kami telah sedar dan berasa puas tidur.

Pok Mid rupanya lagi susah mahu tidur. Sewaktu aku bangun, beliau masih belum mahu ketiduran, berguling ke kiri dan ke kanan. Tiada mahu melelapkan mata.

Segera dia mengajak aku membancuh kopi dan menghirupnya dalam kesejukan malam Blantyre, sehingga waktu Subuh pada jam 4:50 pagi.

“Kito ni jetlag dah ni Me,” kata Pok Mid sambil menyisip kopi yang tersisa di cawan.

Kami seterusnya bersolat Subuh secara berjemaah. Haji Bokeri menjadi imam.

Kemudian bersiap-siap dalam jam 6 pagi turun ke kafe hotel untuk bersarapan. Ringkas sahaja. Ada kuih tempatan seperti cha kueh lagaknya, tetapi tekstur agak keras, ada cornflake, ada pisang dan tangerin.

Seketika kami duduk, chef hotel menghidangkan kentang goreng dengan telur mata kerbau sebagai hidangan utama. Oh begini rupanya sarapan hotel mereka. Kami layankan sahaja. Makan seadanya.

Pihak IMWU meminta kami bersiap seawal jam 8 pagi. Namun sehingga jam 11 barulah mereka tiba dengan masing-masing berwajah masam mencuka.

Aku memulakan bicara, “so whats seem the be the problem madam? Why are you late?”

Lalu bercerita panjanglah Syafina dan Rahmah. Katanya mereka memindahkan 20 lembu dari satu lokasi ke lokasi baharu untuk proses sembelihan esoknya. Malang sekali, dalam proses itu, lima lembu telah mati.

Sambung mereka lagi, “so the seller wanted us to pay for the dead cows”. 

Pok Mid berubah wajah. Mulai marah-marah. Aku mulai campur tangan dan menyebut, “why do we need to bear the cost of dead cows? These are not our money, they are from the participants that paid for the qurban. How are we going to tell them that their cow already dead before eid?”

Mereka mulai bercakap dalam bahasa tempatan. Kemudian Rahmah berkata, tiga lembu mati dalam perjalanan, dan dua lagi mati selepas tiba. Jadi pihak penjual akan tanggung kos tiga yang mati dan kami perlu tanggung dua ekor.

Aku masih berkeras, “We pay for a live cows, and they need to be slaugtered tomorrow. Whats the meaning of paying for a dead animal? It was not in the deal!”

“Let me speak to the seller. Because that was their fault. How do they handle the transportation of the cow? We in Malaysia especially in Kelantan, we imported cows via Thailand from all over Asean countries every single day, and none of them die. Thousand of cows every week, but with good handling, they safely arrived in my state.”

Tunggang langgang dah English aku, bercakap sambil terketar-ketar, menahan marah dan mengawal emosi.

Ya memang cara pindah lembu ini penting. Kalau mereka punggah lembu dari satu lokasi ke satu lokasi lain dengan cara yang buruk, lembu pasti akan mati. Dan kematian lembu itu bukanlah satu benda yang kami kena tanggung. Itu salah penjual. Kami terus berkeras tidak akan membayar.

Pihak IMWU hanya diam dan mampu mengangguk sahaja apabila aku sebut mahu bercakap terus dengan penjual lembu di Mangochi nanti.

Waktu mendekati Zuhur barulah kami bertolak. Ia sebuah perjalanan yang jauh, panjang dan memenatkan. Kadang-kadang jalan elok dan cantik. Kemudiannya berlubang sana sini.

Ya sudah pasti begitulah keadaan jalan mereka. Negara Malawi tidak mampu menguruskan kewangan negara dengan hasil yang amat sedikit. Kitaran ekonomi banyak bergantung kepada bidang pertanian semata mata. Setiap tahun Amerika Syarikat dan negara Eropah menyalurkan ratusan bilion dollar kepada Malawi.

Bahkan aku sempat membelek laporan akhbar di lobi hotel pagi tadi, Malawi baru sahaja menerima USD158 biilion untuk pembangunan domestik mereka.

Walaupun pernah dahulu, untuk beberapa ketika pihak Amerika dan negara Eropah menghentikan seketika penyaluran dana kerana masalah penyelewengan dalam kalangan ahli politik, namun apabila negara bertukar tampuk kepimpinan dan penambahbaikan dalam sistem pengurusan dana negara dilakukan, bantuan antarabangsa kembali mengalir masuk.

Secara asas kita dapat mengagak kenapa terlalu bersungguh-sungguh pihak Barat mahu mendana negara miskin ini. Tidak lain adalah kerana mahu mengekalkan ‘majoritinya Kristian’ di sini. Rata-rata sekolah kerajaan adalah berasaskan agama itu. 

Pihak IMWU sendiri mengakui sejak zaman datuk nenek mereka dahulu, kerajaan cuba meletakkan pelbagai syarat kepada umat Islam di sana untuk menghantar anak ke sekolah, antaranya adalah perlu menukar agama.

Justeru, umat Islam berpakat, memilih untuk terus menyekolahkan anak mereka secara tradisional sahaja di madrasah dan masjid-masjid berdekatan agar tidak murtad.

Al-hasilnya, generasi kedua dan ketiga umat Islam ini, menjadi ketinggalan dalam akademik dan ramai yang buta huruf, gagal berbahasa Inggeris dan terus hidup dalam kemiskinan.

Manakala penganut Kristian mulai menjawat jawatan besar dalam negara, memimpin banyak parti politik, serta menguasai cabang-cabang lain dalam pengurusan serta pentadbiran negara.

Itulah dia cara halus serta cara terus yang Amerika serta Eropah mahukan di banyak negara dalam dunia.

Lewat petang selepas Asar, kami mulai masuk ke satu kawasan kampung dengan jalan penuh berdebu. Hampir 20 minit menyusuri jalan itu, kami disambut ratusan penduduk kampung dengan nyanyian dan tarian. Rupanya mereka sejak Zohor tadi telah menanti ketibaan rombongan kami.

Kami diiring hingga ke satu kawasan lapang dengan satu pondok dibina dengan jerami. Keluar sahaja kami dari van, nyanyian mereka main lantang dan kaum wanita khasnya semakin gembira menari-nari. 

Ia sambutan yang amat hangat dan mengharukan. Sesekali diselangi dengan laungan takbir. 

Mereka kemudian duduk bersila, berlunjur di atas tanah, pihak lelaki pula berdiri mengelilingi satu barisan kerusi yang dikhaskan untuk kami. 

Aku dan Pokmid serta ahli rombongan yang lain menghulurkan tangan bersalam mesra, bertegur sapa dengan para penduduk lelaki. Mereka mudah mesra dan tersenyum biarpun tidak faham bahasa Inggeris.

Kami dijemput duduk di kerusi. Kemudian berucaplah seorang anak muda yang kami kira mungkin ustaz atau tenaga pengajar di sini. Beliau bercakap bahasa ‘Inggeris broken’ bercampur dengan bahasa tempatan. Kemudian seorang wanita pula bangun berucap mewakili ratusan kaum ibu tadi, juga dalam bahasa tempatan.

Madam Syafina kemudiannya menjadi tukang terjemah. Katanya, dua individu tadi adalah muallim ataupun guru agama di kampung ini, Kampung Chikumba. Dan pondok yang dibina dengan jerami rumput kering di hadapan kami adalah sebenarnya masjid tempat penduduk Islam di sini bersolat, belajar agama dan berkumpul.

Allahuakbar. Luluh hati kami. Kak Ti mula menangis. Kenapa pulak?

Sebenarnya sebelum permusafiran kami ke Malawi, tim ini diuji dengan banyak kematian. 

Haji Mohd Bokeri Abu Othman kehilangan ayah mertuanya, yang dijaga selama masa, tinggal bersama. Kasih tumpah erat dan setia. 

Kemudian Kak Norhaiti Haiti sendiri diuji dengan kematian bonda yang amat dicintainya seminggu sebelum berangkat ke sini. Sempat aku dan Pok Mid berziarah sejurus bondanya menghembuskan nafas terakhir itu di Bachok.

Ustaz Nasir Yatibb, juga kematian mertua. Beliau yang asalnya bersama kami ke Malawi, menukar haluan menyertai tim Amal Kelantan ke Nepal. 

Dan, yang amat terkesan adalah kematian Ustaz Sharuddin Abu Bakar, yang sepatutnya menjadi anggota sukarelawan ke Malawi, tetapi meninggal dua hari sebelum bertolak ke sini. 

Mendengar berita pemergiannya tempohari, aku terpana dan terkesima. Ah, apa tidaknya, Ustaz Din aku dah anggap macam bapa sendiri, bermusafir bersama ke misi Kashmir dan misi Mindanao dahulu. Terlalu banyak kenangan terukir bersama.

Namun, hasrat dan impian mahu kembali bersatu, beliau dari Perlis dan kami dari Kelantan, untuk ke Malawi tahun ini, tidak tertunai. Ahli misi ke Afrika tahun ini tinggal lima orang sahaja selepas Ust Din mati dua hari sebelum ke Malawi.

Patutlah tahun ini dia hanya menyerahkan duit membeli tiketnya sahaja dan tidak mencari bahagian kurban serta akikah daripada kawan-kawan seperti tahun tahun sebelumnya. Barangkali ia tidak mahu menggalas ‘banyak tugasan dan amanah orang’ di Malawi, dan semacam sudah tahu masanya telah hampir tiba. Wallahualam. Itu rahsianya dan Tuhannya sahaja yang lebih mengetahui. Aku hanya meneka.

Ya, setiap orang ada ujian masing-masing. Ketua misi, Pok Mid, dengan seribu satu kepayahan, kesakitan, jalan pun ‘tiga selendar’, hanya berbekal semangat yang keras, tetap mahu turun membantu umat Islam miskin di Afrika tahun ini setelah 2020-2021 mendekam terperuk sahaja di kampung dek pandemik.

Aku pula? Hmm amat sukar untuk dieja, terlalu payah mahu ditulis, sulit yang amat untuk diceritakan. Asasnya setiap yang mengaku beriman itu akan diuji-Nya. Moga Allah SWT terima semua pengorbanan yang rakan rakan laksanakan esok sempena Aidiladha. InsyaAllah.

Jawapan kepada kenapa Kakti menangis adalah, apabila Madam Syafina Banda menyebut kepadanya di dalam masjid berdinding rumput di Chikumba tadi, “we have so many carpets in our house, but they read quran and solat on bare soil” – kita punya karpet yang banyak di rumah kita, tapi mereka hanya membaca Quran dan bersolat di atas tanah kering!

…bersambung Bahagian 6

NAZMAN CHE IBERAHIM
Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan – HARAKAHDAILY 30/5/2024HARAKAHDAILY 30/5/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -