TDM, Pusat Khidmat ADUN Jerteh santuni 200 asnaf

- Advertisement -

BESUT: TDM Berhad dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh menyantuni 200 asnaf melalui program TDM Bersama Masyarakat, di sini, hari ini.

- Advertisement -

Menurut Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin, bantuan yang diberi merupakan inisiatif syarikat bagi program tanggungjawab sosial korporat dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab kepada masyarakat.

Kata beliau, pihaknya sedar bahawa masih wujud sebilangan masyarakat yan memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan seharian.

“Kalau kita lihat dari segi kos sara hidup kini, kesulitan kenaikan harga barang merupakan masalah utama yang membelenggu sebilangan besar rakyat.

“Objektif utama TDM adalah untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan, dengan harapan sedikit sebanyak dapat meringankan serta membantu kelangsungan hidup penerima,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, TDM juga merupakan salah satu anak syarikat negeri yang sentiasa menyokong usaha baik kerajaan serta program terutamanya yang melibatkan kebajikan dan sosial masyarakat.

“Ini dapat dilihat melaui inisiatif kerajaan negeri pada pelan tindakan teras strategik tujuh iaitu keterangkuman kebajikan rakyat dan peningkatan kedayaan wanita.

“Teras ini mensasarkan kepada pembangunan insan dan memberi tumpuan menjadikan Terengganu sebagai ‘Negeri Berkebajikan’ berpaksikan rakyat (citizen-centric),” katanya.

Menurut Najman, Program TDM Bersama Masyarakat Jerteh adalah daerah kelapan dalam siri jelajah.

“Tahun sebelum ini, TDM telah berjaya menjelajah tujuh daerah iaitu Hulu Terengganu, Dungun, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Setiu, Kemaman dan Marang.

“Kesinambungan dari itu, bagi melengkapkan lapan daerah, kami meneruskan konsep yang sama untuk daerah Besut,” katanya.

Katanya, untuk siri pertama TDM Bersama Masyarakat Kota Putera telah dijalankan pada akhir tahun 2023 dan Jerteh adalah siri kedua untuk Besut.

“Kami fokus kepada daerah Besut dalam usaha menjalin hubungan dan memastikan agihan kepada mereka yang memerlukan dirasai oleh semua lapisan masyarakat di peringkat daerah,” katanya.

Majlis yang diadakan di Dewan Masjid Hadhari Jerteh itu telah disempurnakan oleh ADUN Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor. Turut hadir Ketua Pengurusan Sumber Manusia dan Pentadbiran TDM, Ahmad Shukri Mohd Ali, dan Pegawai MAIDAM Daerah (Zon Utara), Ahmad Imran Muhamad.

Sementara itu, Riduan berkata, inisiatif yang dilakukan pihak TDM seharusnya menjadi contoh kepada semua pihak.

“Berbakti kepada masyarakat serta cakna kepada mereka yang memerlukan adalah menjadi tanggungjawab bersama.

“Semoga hubungan silaturahim yang terjalin terus berkekalan dan ukhuwah sesama kita semakin kukuh melalui program TDM Bersama Masyarakat ini.

“Saya berharap para penerima dalam program TDM Bersama Masyarakat hari ini dapat memanfaatkan sebaiknya bantuan berkenaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/5/2024