Syarikat judi di Malaysia terus subur…

Roslan Shahir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Syarikat judi di Malaysia terus subur meskipun empat buah negeri di bawah pimpinan PAS iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis tidak lagi memberi lesen premis bagi syarikat perjudian ini terus beroperasi.

Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, Malaysia sebagai sebuah negara Islam sepatutnya menyekat industri judi yang diharamkan syarak ini dan juga dipersetujui bukan budaya mana-mana kaum di Malaysia demi melindungi masyarakat. 

- Advertisement -

Kesan judi yang diketahui menurutnya adalah menyebabkan penyakit sosial yang memberi mudarat sehingga mampu meroboh dan memecahbelahkan institusi keluarga, mendedahkan rakyat kepada masalah hutang dan muflis.

“Dalam waktu yang sama penguatkuasaan terhadap aktiviti judi haram termasuk yang atas talian perlu dipertingkatkan. Hukuman ke atas pesalah juga ditambah.

“Jika tidak, Kerajaan Madani ini akan terbit sebagai kerajaan yang menjadikan Malaysia walaupun sebuah negara Islam, tetapi subur dan berkembang industri judinya yang jika bertaraf NFO berlesen, adalah halal di mata kerajaan,” ujar beliau dalam media sosial miliknya hari ini.

Terdahulu media tempatan melaporkan bahawa, syarikat operator nombor ramalan (NFO), Sports Toto Bhd memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM68.5 juta bagi tempoh suku ketiganya berakhir 31 Mac 2024.

Turut dilaporkan bahawa sebuah lagi NFO, Magnum Berhad pula memperolehi keuntungan bersih RM25.99 juta bagi suku pertama 2024, iaitu kenaikkan 64.71 peratus berbanding RM15.78 juta suku yang sama tahun lepas. 

Tambah Roslan, walaupun empat buah negeri dipimpin PAS tidak lagi memberi lesen kepada syarikat perjudian ini beroperasi, namun ia tetap mampu mencatat keuntungan dan memberi laba pada para pemegang sahamnya dalam operasinya di negeri-negeri lain.

“Bermakna industri maksiat ini terus maju dan  berkembang bawah pemerintahan Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri ke-10. 

“Oleh kerana Kerajaan ini tidak berhasrat mengekang atau menyekat aktiviti NFO ini tidak seperti empat negeri Melayu yang lain, wajarlah ia memikirkan untuk menaikkan cukai ke atas syarikat-syarikat NFO ini.

“Jangan ia bersenang-senang terus mencuri keuntungan di atas nestapa dan kesusahan kaki-kaki judi.

“Ada penganalisa mengatakan bahawa NFO ini terpaksa dilindungi (jangan dibebankan dengan cukai) kerana kononnya mahu menghalang aktiviti perjudian tidak berlesen,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/5/2024

- Advertisement -