Seorang maut ditelan enjin kapal terbang

- Advertisement -

AMSTERDAM: Seorang individu maut selepas terperosok masuk ke dalam enjin pesawat yang sedang bergerak di Lapangan Terbang Schiphol, di sini pada Rabu (29 Mei).

Kejadian tersebut berlaku ketika pesawat dengan kod penerbangan KL1341 berkenaan sedang menuju ke landasan untuk berlepas menuju ke Billand, Denmark.

- Advertisement -

Polis tentera Belanda, Marechaussee memaklumkan siasatan berhubung kejadian berkenaan sedang dijalankan dan siasatan masih belum mengenal pasti identiti mangsa, lapor The Independent.

“Masih terlalu awal untuk pihak berkuasa mengatakan sama ada kejadian terbabit adalah ‘insiden’ yang tidak disengajakan atau tindakan ‘bunuh diri’.

“Kami juga masih tidak dapat memastikan sama ada individu itu merupakan penumpang atau pekerja,” katanya.

Sementara itu, seorang kru di dalam pesawat berkenaan memaklumkan bahawa terdapat seseorang telah melompat ke dalam enjin ketika anak kapal baru sahaja selesai membuat demo keselamatan, lapor De Telegraaf.

“Terdapat bunyi yang bising sebelum munculnya asap buat seketika. Penumpang dan anak kapal melihat kejadian itu berlaku di depan mata mereka,” tambah laporan itu lagi.

Dalam pada itu, kesemua penumpang dan anak kapal selamat keluar dari pesawat berkenaan dan ditawarkan khidmat kaunseling susulan daripada insiden itu. – Agensi-HARAKAHDAILY 30/5/2024

- Advertisement -