‘Pendatang asing tiada lesen, kenapa MPAJ gagal selesaikan?’

Khasim ketika menyertai Jawatankuasa Bertindak Warga Prihatin Ampang Jaya menghantar memorandum mengenai bantahan kenaikan cukai taksiran oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya, di Selangor pada hari ini, 30 Mei 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Haziq Aiman)
- Advertisement -

AMPANG JAYA: “Sebenarnya banyak isu lain yang perlu diselesaikan oleh pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sebelum menaikkan kadar cukai taksiran yang dijadualkan pada tahun depan.”

Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz berkata, masalah lambakan pendatang serta kewujudan penempatan warga asing yang semakin meningkat di kawasan Ampang Jaya seperti rumah kediaman yang dijadikan kilang dan tempat membaiki peralatan elektrik terpakai adalah antara masalah yang perlu diselesaikan oleh MPAJ.

- Advertisement -

“Masalah ini yang kita perlu atasi terlebih dahulu sebab mereka inilah yang menguasai ekonomi tanpa mendatangkan faedah kepada pihak MPAJ. 

“Mereka (pendatang asing) ini tiada lesen, saya tidak tahu kenapa benda sebegini pun pihak MPAJ tak boleh (gagal) nak selesaikan?

“MPAJ mungkin tidak mampu dari segi penguatkuasaan, tetapi mereka boleh minta bantuan daripada pihak polis dan imigresen untuk kita pastikan perkara berkenaan berjalan mengikut lunas undang-undang seperti membayar lesen dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ketika Jawatankuasa Bertindak Warga Prihatin Ampang Jaya menghantar memorandum mengenai bantahan kenaikan cukai taksiran oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya, di sini hari ini.

Khasim juga menegaskan, MPAJ perlu memberikan penjelasan tentang kewajaran kenaikan kadar cukai taksiran kepada rakyat (penduduk) di kawasan berkenaan.

Menurutnya, maklumat mengenai perkara tersebut sebelum ini hanya diketahui melalui internet menyebabkan ramai ramai penduduk yang tidak mengikuti perkembangan ini tidak mengetahui mengenainya. 

“Sepatutnya penerangan yang jelas mengenai kenaikan kadar cukai taksiran perlu diberikan dengan jelas kepada masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, Khasim menggesa  MPAJ agar membatalkan kenaikan kadar cukai taksiran yang dijadualkan bermula tahun depan itu.

“Kenaikan cukar taksiran yang baharu itu tidak wajar dilaksanakan dalam keadaan ekonomi negara yang gawat dan kenaikan harga barang yang membebankan rakyat.

“MPAJ tidak pernah merungut pendapatan mereka tidak cukup. Jadi, kenaikan kadar cukai berkenaan tidak sesuai dengan situasi sekarang, dengan subsidi diesel yang akan ditarik sekaligus meningkatkan lagi harga barang dan secara automatik bebanannya adalah pada masyarakat,” katanya.

Terdahulu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Dr Ani Ahmad pada 27 April lepas berkata, pendapatan tambahan dari kenaikan cukai taksiran adalah RM14 juta setahun; dan pendapatan tahunan MPAJ sekarang ini adalah RM85 juta setahun. – HARAKAHDAILY 30/5/2024

- Advertisement -