
AMPANG JAYA: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) digesa untuk membatalkan kenaikan kadar cukai taksiran dan memberikan fokus kepada aspek mutu perkhidmatan dan kebajikan rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warga Prihatin Ampang Jaya, Nor Kamarul Baharom berkata, kadar kenaikan baharu itu dianggap sebagai suatu kenaikan yang terlalu tinggi yang dikeluarkan oleh pihak MPAJ, di sebalik banyak isu yang belum diselesaikan.
“Kadar taksiran sebelum ini adalah antaranya RM4,000 setahun telah meningkat kepada RM9,000 setahun. Ada yang dari RM5,000 setahun meningkat menjadi RM8,900 setahun. Memang meningkat dua kali ganda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghantar memorandum bantahan kenaikan cukai taksiran kepada pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya,di sini, hari ini.

Menurutnya, jika pihak MPAJ mengenakan kadar taksiran berdasarkan keadaan rumah, terdapat sebahagian rumah yang tidak dibuat sebarang pengubahsuaian, namun kadar taksiran yang dikenakan terlalu tinggi dan merisaukan ramai penduduk.
“Dalam keadaan semasa yang kita dapat lihat pada hari ini, kita merasakan tiada sebarang keperluan untuk menaikkan kadar taksiran terlalu tinggi,” jelasnya.
Tambah Kamarul, pihak MPAJ perlu meningkatkan mutu perkhidmatan dan menyelesaikan masalah dialami rakyat sebelum menaikkan kadar cukai seperti kekurangan tempat meletak kenderaan di tempat awam, lambakan kenderaan tersadai dan kewujudan penempatan warga asing yang semakin membimbangkan.
“MPAJ perlu lebih proaktif dan jangan ambil ringan soal keselamatan nyawa dan penduduk. Keselamatan penduduk yang tinggal di kawasan cerun dan lereng bukit masih belum diatasi dan banyak lagi usaha yang perlu diambil untuk isu ini,” katanya.
Oleh yang demikian, beliau berharap akan adanya keterlibatan khususnya daripada pihak kerajaan negeri Selangor untuk menyelesaikan isu ini.
“Saya juga akan menghantar memorandum bantahan ini kepada Menteri Besar, wakil rakyat di kawasan ini dan juga kepada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan MPAJ akan melaksanakan kadar cukai taksiran yang baharu menjelang tahun depan untuk 181,144 premis yang terdiri dari 85,646 premis di atas tanah (landed) dan 95,498 premis strata.
Tambah laporan tersebut, premis strata yang tidak direnovasi akan mengalami kenaikan sehingga 25 peratus; sementara premis yang telah direnovasi akan mengalami kenaikan yang lebih tinggi. –HARAKAHDAILY 30/5/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!