Kerajaan Madani gagal temui formula subsidi bersasar

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Tatakelola Kerajaan Madani dilihat tersasar apabila masih gagal menemui formula bagi pelaksanaan subsidi bersasar.”

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, perkara itu  sehingga mengundang persoalan orang ramai mengenai fungsi sebenar Pangkalan Data Utama (PADU) yang sepatutnya menjadi instrumen utama dalam menentukan kelayakan rakyat bagi penyasaran subsidi ini. 

- Advertisement -

“Persoalan orang ramai ini timbul berikutan Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan pelaksanaan Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) dengan tidak menggunakan data daripada PADU yang mana memerlukan permohanan baharu.

“(Budi Madani ini dikatakan) melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi yang mana golongan ini perlu membuat permohonan terlebih dahulu.

“(Permohonan tersebut adalah) bawah kategori Budi Individu atau Budi Agro-Komoditi mengikut kriteria kelayakan,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas ini dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau berkata, rakyat telah digesa untuk mengisi PADU pada awal tahun ini yang dibina oleh kerajaan sebagai langkah untuk menangani ketirisan pemberian subsidi kepada warga asing dan golongan Maha Kaya menurut definisi Madani.

Tindakan yang didakwa sebagai satu mekanisme yang efisien ini jelas beliau hanyalah penjenamaan baru bagi inisiatif penarikan subsidi yang bakal meningkatkan inflasi sekitar 3.3 peratus sepertimana yang diramal oleh RHB Investment Bank dan kesannya sehingga harga barangan akan terus naik. 

“Seperti biasa, tindakan kerajaan Madani yang separuh masak dan tidak konsisten terus menyusahkan rakyat, terutamanya golongan B40, bukanlah golongan maha kaya seperti yang dicanang-canang.

“Sudah berulang kali pihak pembangkang, NGO, NGI, rakyat awam, hatta rakan komponen politik sendiri menegur kerajaan Madani agar tidak gopoh untuk melaksanakan formula yang berpotensi gagal, namun tidak diendahkan. 

“Inilah bahananya apabila merasakan diri terpaling pakar dan betul. Apalah yang nak dikisahkan kerana yang merana bukan mereka, tetapi rakyat biasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/5/2024

- Advertisement -