‘Isu DRT-Asia Mobility: Kenyataan SPRM pramatang’

Muiz Mahyuddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa pihaknya tidak akan melakukan siasatan terhadap Asia Mobility Technologies Sdn. Bhd. (Asia Mobility) dianggap terlalu pantas dan pramatang.”

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Muiz Mahyuddin berkata demikian mengulas kenyataan media Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini yang memaklumkan bahawa siasatan interim pihaknya terhadap kaitan antara Asia Mobility dan Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT), mendapati tiada salah guna kuasa melibatkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

- Advertisement -

“Apa yang pelik adalah siasatan interim ini tidak langsung melibatkan sebarang pengumpulan dokumen dan bukti. Tiada serbuan ataupun saksi dipanggil beri maklumat awal.

“Jadi, saya ingin bertanya kepada SPRM, apakah kaedah siasatan interim ini? Bagaimanakah SPRM melakukan kesimpulan awal ini?” katanya.

Beliau juga mempersoalkan adakah tindakan itu diambil dengan mengkaji niat Kerajaan Negeri Selangor menganugerahkan projek itu kepada Asia Mobility atau melihat kepada pihak mana yang terlibat?

Oleh yang demikian menurutnya, jika SPRM gagal jumpa sebarang keperluan atau motif untuk siasatan lanjut dilakukan, biar beliau sendiri yang berikan SPRM keperluan atau motif tersebut.

“Pertama, projek ini diberikan secara runding terus. Ia disahkan oleh kenyataan media oleh Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ng Sze Han. Kenapa perlu runding terus? Projek ini bukan melibatkan keselamatan atau pertahanan. Banyak syarikat berkebolehan dalam perkara ini.

“Kedua, projek ini dikawal selia oleh Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC). Ng Sze Han yang merupakan Pengerusi SIDEC adalah Setiausaha DAP Selangor. Hannah Yeoh pula adalah Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaaan. Mereka berdua adalah kepimpinan tertinggi DAP.

“Ketiga, latar belakang suami Hannah Yeoh, iaitu Ramachandran Muniandy, dalam bidang teknologi maklumat tidak jelas dan terdapat pelbagai maklumat yang kabur mengatakan dia terlibat dalam bidang keagamaan sahaja sebelum menubuhkan syarikat tersebut pada tahun 2018,” katanya.

Tambah Muiz, berdasarkan kepada ketiga-tiga perkara berkenaan, beliau merasakan amat wajar pihak SPRM membuka kertas siasatan, membuat serbuan bagi mendapatkan segala maklumat dan juga menangkap dan mereman mereka yang terlibat bagi siasatan lanjut.

“Bukankah kaedah berkenaan merupakan SOP (prosedur operasi standard) biasa bagi pihak SPRM dan pernah diguna pakai kepada ahli politik Perikatan Nasional.

“Bukankah motto SPRM adalah ‘Amanah, Tegas dan Adil? Siasatlah dengan amanah, bertegaslah tanpa memilih bulu dan berlaku adil lah dengan semua pihak,” katanya. 

Terdahulu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat sebagai sedang memungkirkan janji dan manifestonya sendiri bahawa tiada kroni dan pilih kasih dalam pemberian kontrak kerajaan kepada pembekal, susulan pelantikan Asia Mobility sebagai syarikat pengendali perkhidmatan DRT oleh kerajaan Selangor.

Ia berikutan pemilik kepentingan Asia Mobility (Ramachandran Muniandy) ialah suami Hannah Yeoh dan kontrak itu diperolehi secara runding terus tanpa tender terbuka.

Sementara, Sze Han pula dalam kenyataan medianya sebelum ini telah memberikan alasan bahawa Asia Mobility telah memenuhi syarat kelayakan cadangan untuk pelaksanaan DRT. – HARAKAHDAILY 30/5/2024

- Advertisement -