MARANG: Kerajaan Negeri Terengganu bersama Kerajaan Persekutuan sedang dalam proses melaksanakan projek besar untuk mewujudkan satu garisan tukun dari Kemaman hingga Besut sejauh 245 kilometer (km).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya meletakkan sasaran setiap km satu kelompok tukun akan dilabuhkan dengan jumlah lapan hingga 10 tukun.
“Bermakna 245 km kita akan ada sebanyak 245 kelompok tukun,” katanya kepada pemberita selepas Program Melabuh Tukun Tiruan Konservarsi bertempat di Jeti Pelancongan di sini, hari ini.
Azman berkata, hari ini sebanyak 12 unit tukun tiruan jenis kuboid juvenil penghalang pukat tunda bagi tujuan konservasi bernilai RM400,000 dilabuhkan di perairan taman laut Pulau Kapas dan Pulau Redang.
“Tukun kita ada dua jenis, pertama rekreasi dan yang kedua konservesi. Tukun konservesi bermakna tukun yang bertujuan pembiakan ikan yang kita labuhkan di kawasan larangan menangkap ikan, taman laut, semua ini adalah dari dana persekutuan, dengan tujuan untuk memperkayakan lagi sumber perikanan kita.
“Alhamdulillah, usaha berterusan kerajaan negeri bersama dengan Kerajaan Persekutuan menampakkan impak positif yang sangat ketara di mana peningkatan pendaratan hasil perikanan marin Terengganu tahun 2023 berbanding dengan 2022 meningkat kira-kira 32 peratus.
“Ini satu peningkatan yang sangat ketara dan maklum balas yang diterima daripada para nelayan di lapangan pun memberikan maklumat langsung tentang peningkatan hasil tangkapan,” katanya.
Mengulas lanjut kata beliau, program melabuhkan tukun berfokus kepada serampang dua mata.
“Pertama sebagai peranti rumah ikan untuk memperkayakan sumber perikanan dan kedua sebagai zon penampang kepada aktiviti pukat tunda,” katanya.
Tahun ini, kata beliau, kerajaan negeri mendapat peruntukan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang dalam proses tender sebanyak RM3 juta.
Susulan itu, kata beliau, sebanyak 100 unit tukun akan dilabuhkan dengan jumlah yang terbesar berbanding tahun sebelumnya.
“Jadi usaha berterusan ini nampaknya mula membuahkan hasil yang diperkatakan oleh semua peringkat dan usaha kita untuk menyelesaikan tiga isu besar nelayan, isu ketiadaan sumber, perlesenan dan pencerobohan, kita ambil secara berperingkat.
“Jadi bagi pihak kerajaan negeri saya merakamkan penghargaan setinggi-tinggi kepada jabatan perikanan sebagai agensi pelaksana, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang setiap tahun sentiasa ada peruntukan untuk pembangunan tukun dan tahun 2024 peruntukan terbesar.
“Biasa kita dapat dalam sekitar RM250,000 sehingga RM300,000 setahun daripada persekutuan dan kerajaan negeri berbelanjakan sekitar RM1 juta.
“Tahun ini peruntukan daripada persekutuan meningkat kepada RM3 juta daripada RM10.07 juta yang diperuntukan untuk pelbagai program yang mencangkupi semua sektor pertanian di Negeri Terengganu,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/5/2024