(Travelog) Tiba di ‘Landlock Country’ Malawi

Menjelang musim Haji dan Aidiladha 2024

- Advertisement -

7 JULAI 2022 – Khamis

- Advertisement -

Jam 9:47 malam tertulis di handset-ku, sudah pasti ini waktu yang digunakan di Thailand sewaktu berangkat malam tadi. Entah pukul berapalah di Addis Ababa sekarang ini.

Yang pastinya dengan badan yang melekit setelah lebih 30 jam tidak mandi, tidak menukar pakaian, dan rehat yang tidak cukup, aku seakan-akan mahu putus nafas.

Ia jadi lelah, dan lelah seperti ini seakan-akan sama sewaktu aku di wad Hospital Kuala Krai pada Disember lalu, bertarung dengan COVID-19 stage 4. Aduh. Nafas pendek-pendek. Cungap-cungap.

Ah jalan dulu slow-slow. Baik cari tandas dulu di airport transit ni. Hahaha. Ah rupanya di sini baru 6 pagi, Subuh baru habis rasanya.

Waktu berlalu. Kami teruskan perjalanan dengan pesawat seterusnya.

Jam 1:12 tengah hari, kami jejakkan kaki ke bumi The Warm Heart of Africa. Cuacanya dingin dan sejuk. Umpama Cameron Highland. Ahh ini meleset jauh daripada ilmu asal kita bahawa Africa ni panas, ‘gurun’, kering sepanjang tahun. Pelik. Menarik.

Setengah jam lepas, sewaktu pesawat mahu mendarat, dapat dilihat saujana mata memandang tanah-tanah di sekeliling ‘daerah’ Chileka yang menempatkan lapangan terbang ini, adalah kebun-kebun milik rakyatnya.

Tanaman kontang, jagung, jenis kekacang dan lain-lain sayur memenuhi segenap ruangan tanah yang ada.

Turun dari pesawat, kami diarahkan ke satu khemah besar untuk proses saringan ringkas COVID-19. Berbekalkan ujian PCR di Kota Bharu kelmarin, kami hulurkan passport kepada para pegawainya. Mereka lihat seimbas sahaja dan kami juga tunjuk MySejahtera iaitu maklumat vaksinasi kami, pun mereka ‘tengok tak tengok’. Aih, kenapa eh?

“Where is your Yellow Fever Card?” tanya seorang pegawainya tiba tiba sahaja. Aku kebingungan dan seingat aku tiada pula syarat berkait ‘demam kuning’ yang tertulis di laman web imigresennya sepanjang dua bulan aku meneliti syarat kemasukan ke Malawi.

Pok Mid membuka MySejahteranya bersama Haji Hassan dan menunjukkan Digital Certificate of Vaccination For COVID-19 yang kebetulan berwarna ‘yellow’ tetapi petugas lapangan terbang menggelengkan kepala.

Kemudian datang seorang lagi pegawai dan berkata, “You are from Malaysia, you should have Yellow Fever Card”. Aku menjawab pantas, “Yellow Fever Card? I never heard about it”.

“How many of you come here?,” tanyanya lagi. Jawabku “five person only”. Kemudian pegawainya yang lain bertanya, “Why do you come here? What is the reason?”.

Dengan soalan itu masing-masing seakan menjawab serentak. Haji Bokeri menjawab pasal korban lembu, Kak Ti sebut “visitor”, Pok Mid pula duk bertegas suruh jawab datang melancong sahaja.

Mereka masih berkeras meminta Kad Demam Kuning. Aduh. Aku terus sebut pada Pok Mid, “Demo ni nak mugo lain ni Be Mid. Sijil COVID-19 tak cek langsung, tapi duk kalut demam kuning pulak dah”.

Belum terlucut di mulutku menyebut sebegitu, pegawai yang berada di sisiku dengan muka sedikit senyum berkata, “Owkay, now, you already come here, what can i do, to settle down your problem with Yellow Fever Card?”.

Ah, semacam terjawab soalan aku pada Pok Mid tadi, dengan ayat pegawainya itu.

Hampes betul. Rupanya ada udang sebalik mee. Patutlah duk minta benda pelik dan tak hirau sangat pun dengan PCR test yang kami kemukakan. Dahlah ujian PCR semahal RM180 dibuat di Kota Bharu kelmarin. Mahal. Rupanya tak kisah pun mereka ni. Ada ‘benda lain’ yang mereka nak.

Aku kemudian keluarkan ‘surat jemputan daripada International Muslim Women Union’ dalam telefon dan menunjukkan alamat mereka di Blantyre dan menyebut nama Pengerusinya, Madam Syafina Banda.

Mendengar nama Syafina Banda mereka mulai berbisik sama sendiri dalam bahasa lokal. Kataku lagi, “we have this invitation to do charity work here, maybe you call directly to madam Syafina Banda?”.

Mereka berbisik bisik lagi. Kemudiannya salah seorang memegang bahuku, dan berkata, “Ok you can go now to arrival room, next time you come here, please bring the Yellow Fever Card”.

Aku tanpa banyak soal terus memanggil kawan-kawan yang lain untuk tinggalkan pegawai-pegawai berkenaan. Sambil masih sempat beberapa kali ku ucapkan terima kasih kepada mereka.

Hahaha. Rupanya laku juga nama Syafina Banda. Takut mereka mendengarnya.

Sampai sahaja di kaunter imigresen, mereka menyuruh kami mengemukakan visa. Ah kacau pulak dah. Beberapa pegawai beruniform semuanya meminta visa kemasukan ke Malawi. Lalu Pok Mid berkata, “No need for visa, we check online no need”. Tapi Pok Mid sambil bercakap menunjukkan kepada kami di satu sudut tempat ramai beratur untuk mohon “Visa on Arrival”.

Aku kemudian menyebut kepada satu pegawai wanitanya, “We are from Malaysia, and Malawi is our commonwealth country-friend, no need for visa”. Dia mengangguk laju dan membawa pergi passport kami. Seketika kemudian dia datang kembali dan berkata, “Sir please proceed direct to the counter, no need for visa”.

Ya memang banyak negara komanwel, antara negara terbabit tidak memerlukan visa.

Lepas di kaunter imigresen, kami menuju ke tempat pungutan bagasi dan sekali lagi drama berlaku. Seorang petugas meminta ‘luggage sticker’ untuk semua beg dan bagasi yang mahu melalui ‘scanner’. Dan ia seakan akan meminta tips untuk memudahkan. Kami berbuat kalut-kalut sahaja dan melorong masuk semua bagasi ke mesin scanner dan bergerak laju ke depan untuk memungutnya kembali.

Lepas sahaja kawasan bagasi, sebelum sampai ke pintu keluar, sekali lagi segerombolan pegawai wanita beruniform mahu melihat pasport. Eh apa bendanya ni, tadi dah selesai di imigresen sana, apa lagi mahu diperiksa di sini?

Apa pun melihat kepada pengurusan kemasukan imigran luar di Chileka Airport ini, memang tatakelola mereka jauh tertinggal dengan negara-negara lain. Kelam-kabut dan terbuka untuk banyak isu integriti bagiku.

Ia pengalaman dan pengamatan yang bermanfaat. Mungkin sahaja catatan kami ini nantinya mampu memberi panduan kepada peserta misi seterusnya dari Malaysia. InsyaAllah.

…bersambung Bahagian 4

NAZMAN CHE IBERAHIM
Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan – HARAKAHDAILY 29/5/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -