Subsidi: PADU bertongkat BUDI – Syahir Sulaiman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan ternyata belum bersedia untuk melaksanakan program subsidi bersasar apabila mewujudkan pula sistem pendaftaran Bantuan Subsidi Madani (BUDI), selepas Pangkalan Data Utama (PADU) sebelum daripada itu.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman mengkritik perkara tersebut yang disifatkannya sedang mensasarkan jumlah pendapatan dan data peribadi rakyat, sedangkan tujuan asal adalah untuk memberi subsidi bersasar.

Tindakan populis kerajaan bahkan juga turut dibidas oleh Penolong Setiausaha Agung PAS itu kerana sudah seringkali bersikap mengumumkan terlebih dahulu sesuatu perkara akan dilakukan, tetapi kajian berkaitan diadakan kemudian.

“Walaupun telah diumumkan (kerajaan) sejak tahun 2023, (namun) mekanisma pelaksanaan, kaedah penyaluran, tahap kelayakan, kekerapan, serta impak kepada rakyat dan perniagaan, masih dalam kajian (lagi).

“PADU dibuka (pendaftarannya pada) Januari 2024, ditutup Mac 2024, dengan jangkaan penyasaran subsidi petrol RON95 bermula Jun 2024. (Tetapi) Kini PADU masih diperam, kerana ‘dipetik sebelum masak’.

“Dalam Perutusan Negara, subsidi diesel pula diumumkan PMX (Perdana Menteri Ke-10). Tiada perincian (dinyatakan), tiada tempoh masa ditetapkan. (Bila) Ditanya (kepada) Menteri, dijawab belum diputuskan Jemaah Menteri.

“Tarikh (pelaksanaannya) dibiarkan rakyat dan peniaga berteka-teki,” pertikai beliau yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS terhadap pendaftaran BUDI yang dikatakan bermula pada Mei atau Jun 2024 itu.

Syahir menyatakan, pelaksanaan subsidi diesel yang lebih mudah dijangka dimulakan secara berperingkat pada suku ketiga (Q3) 2024, manakala subsidi petrol dan bantuan tunai kerana lebih kompleks, mungkin dianjak kepada Q4 2024, jika kerajaan bersedia.

“Maka BUDI diperkenalkan selepas PADU siap, sedangkan PADU dicanang sebagai pangkalan data bersepadu tunggal di pihak Kerajaan. Persoalannya, mengapa perlu dibina pangkalan data baharu? Fungsinya mirip PADU.

“Seolah gagalnya PADU apabila pihak Kerajaan sendiri tidak percayakan keupayaan dan capaian PADU. Dahulu “Daftar PADU bro, elak tercicir”. Rupanya hari ini PADU sendiri yang tercicir,” tempelak beliau.

Katanya, melihat kepada senario ekonomi semasa dan mendatang, kelewatan tersebut boleh diandaikan bagi mengimbangi kelembapan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 4%, serta tekanan inflasi yang bakal merebak umpama pandemik melebihi 4%.

Di samping menurut Syahir, kerana kelemahan Ringgit, kelesuan Bursa dan kenaikan kos sara hidup semakin tinggi di mana inilah model Ekonomi Madani, iaitu penuh falasi dan mendorong inflasi. – HARAKAHDAILY 29/5/2024

- Advertisement -
- Advertisement -