Sokongan kaum Cina terhadap PN meningkat 

Raggie Jessy Rithaudeen
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sokongan masyarakat Cina terhadap Perikatan Nasional (PN) meningkat khususnya di Perlis dan Terengganu.

Aktivis media sosial, Raggie Jessy Rithaudeen berkata, PN mendapat 11 peratus sokongan masyarakat Cina di Perlis dan 17 peratus di Terengganu ketika Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) yang lalu.

- Advertisement -

“Di kedua-dua negeri ini, PH menaburkan dana yang banyak untuk berkempen, tetapi PAS (PN) sapu habis,” katanya dalam video yang dimuat naik dalam Facebook miliknya.

Oleh itu menurutnya, PAS perlu mengkaji apakah yang dilakukan oleh Menteri Besar Perlis dan Terengganu, khususnya Dr Sam (Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar) di Terengganu supaya pada PRU16 nanti, sokongan orang Cina terhadap PN di Semenanjung akan meningkat 15 hingga 20 peratus.

“Sebab itu kita kena tanya mereka (orang Cina) di Terengganu dan Perlis apakah sebabnya mereka menyokong kerajaan pimpinan PAS.” ujarnya. 

Tambah Raggie, pengundi Cina yang tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) tidak akan menyokong MCA, sebaliknya akan beralih sokongan ke PN. 

Ini kerana menurutnya, MCA dianggap lembab, pengecut dan di bawah bayangan UMNO. Justeru itu, sokongan diberikan kepada DAP kerana lebih lantang serta berani, dan perkara yang ingin dikecapi masyarakat Cina boleh dilakukan dengan lebih cepat. 

“Saya ada tanya ramai orang Cina, kalau MCA keluar (BN), mereka akan pertimbangkan semula (sokongan). Mereka nak lihat keberanian. Itulah yang membezakan DAP dan MCA, kelantangan dan keberanian,” katanya. 

Dalam pada itu, sokongan masyarakat Cina di beberapa negeri lain turut mengalami peningkatan antaranya Selangor dengan peningkatan tujuh peratus, Pahang sebanyak tujuh peratus dan Johor sebanyak enam ke tujuh peratus.

“Kalau kali ini mereka buat PRN di Johor, saya jangka PN ada peluang untuk rampas negeri Johor,” tambahnya,

Menurutnya lagi, jika PN hendak menang majoriti dalam kerajaan, mereka perlu mendapatkan 15-20 peratus sokongan masyarakat Cina.

“Perkara ini tidak mustahil berlaku kerana negeri yang tiada pengaruh PH, di mana PAS mentadbir sahaja, orang Cina lebih suka berbanding negeri yang ada pengaruh PH.

“Itu bermakna, naratif yang dimainkan untuk menakut-nakutkan orang terhadap PAS ini adalah naratif yang memesongkan kerana orang Cina yang benar-benar di bawah pentadbiran PAS, terima PAS,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/5/2024

- Advertisement -