PRK Sg Bakap: PAS tunggu cadangan calon

- Advertisement -

KANGAR: PAS masih belum memutuskan calon akan mewakili parti itu pada PRK DUN Sungai Bakap yang bakal diadakan nanti, kata Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’raja Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah.

- Advertisement -

“Kami belum ada perbincangan dan keputusan kerana kematian Yang Berhormat (YB) Sungai Bakap ini baru saja berlaku. Parti masih menunggu cadangan daripada PAS Negeri Pulau Pinang,” katanya.

Mohd Amar berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kunjung hormat kepada Speaker Perlis, Ruselee Eizan, di Pejabat Speaker, Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini hari ini.

Beliau yang juga Speaker Negeri Kelantan memaklumkan, tujuan lawatan tersebut adalah untuk mengeratkan hubungan antara Perlis dan Kelantan serta bertukar maklumat kedua pihak.

“Lawatan hari ini merupakan kali pertama sejak saya menjadi Speaker Kelantan. Ia bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturrahim antara Perlis dan Kelantan,” tambahnya lagi.

ADUN Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff, 56, meninggal dunia akibat komplikasi dalam perut di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang pada Jumaat lalu.

Allahyarham menang di DUN atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada PRN Pulau Pinang menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose, dengan majoriti 1,563 undi. – HARAKAHDAILY 29/5/2024