‘Perobohan rumah Kg Sri Makmur tindakan yang zalim’

Hilman Idham (duduk, tengah) dalam sidang media isu perobohan setinggan Kampung Sri Makmur Gombak, Selangor pada hari ini, 27 Mei 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

GOMBAK: “Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan penguatkuasaan yang kasar dan ganas oleh kerajaan negeri ketika operasi perobohan setinggan di Kampung Sri Makmur, Gombak.”

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham berkata, tindakan tersebut seperti yang berlaku dan tular di media sosial masih tidak mendapat sebarang respon daripada kerajaan negeri khususnya Menteri Besar Selangor.

- Advertisement -

“Ini mencerminkan betapa kerajaan negeri hari ini adalah zalim dan tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Beliau menuntut penjelasan segera daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan negeri Selangor berhubung isu keganasan yang berlaku termasuk keberadaan sekumpulan pemuda bertopeng, bertopi serta mengenakan vest berwarna hijau ketika tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.

Tambah beliau, terdapat keyakinan bahawa mereka bukan anggota PDRM atau penguatkuasa daerah mahupun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam perobohan tersebut.

“Siapa mereka? Saya yakin mereka bukan anggota PDRM atau penguatkuasa daerah mahupun PBT.

“Justeru, mengapa mereka terlibat? Apa tujuan dan peranan mereka? Ini kerana kewujudan mereka telah menimbulkan provokasi, pergelutan pergaduhan sehingga mendatangkan kecederaan di kalangan penduduk.

“Lihat dalam beberapa video dan gambar yang tular di media sosial, mereka ini bersikap ganas dan seolah-olah samseng dengan penduduk yang terlibat.

“Laporan polis telah pun dibuat berhubung kumpulan ini dan saya minta supaya PDRM segera menyiasat perkara ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berhubung isu perobohan setinggan Kampung Sri Makmur Gombak pada hari ini.

Beliau menyatakan bahawa dirinya teguh bersolidariti bersama-sama dengan kesemua 153 buah keluarga penduduk kampung tersebut yang terlibat secara keseluruhan.

Kata beliau lagi, selaku seorang warganegara yang bertanggungjawab, beliau yakin kesemua penduduk ini tidak bersikap anti-pembangunan tetapi mestilah dilaksanakan dengan bertanggungjawab dan berkualiti.

“Saya sendiri telah membangkitkan dan menyuarakan isu ini dalam Sidang Dewan Negeri Selangor pada November tahun lalu.

“Saya juga telah mengambil tanggungjawab mengaturkan pertemuan antara wakil penduduk dengan Menteri Besar (Selangor) dan hasilnya operasi telah ditangguhkan beberapa kali untuk membolehkan rundingan dibuat dan 21 orang penduduk telah menerima pampasan dan ganti rugi.

“Justeru, atas nama kemanusiaan, saya mendesak dan menggesa kerajaan negeri untuk segera membela nasib 132 keluarga penduduk Kampung Sri Makmur yang tidak menerima pampasan, dengan adil dan penuh tanggungjawab,” katanya. – HARAKAHDAILY (29/5/2024)

- Advertisement -