KOTA BHARU: Keunikan senibina beberapa masjid di Kelantan menyebabkan ia menjadi destinasi kunjungan pelancong ketika bertandang ke Serambi Mekah.
Malah pelancong meluah begitu kagum kerana masjid tersebut dibiayai anak tempatan yang berjaya dalam perniagaan.
Antaranya Masjid Imanul Fa’izin atau dikenali juga sebagai Masjid Andalusia terletak di Kampung Padang Kala jalan Kota Bharu-Pasir Puteh. Ia menjadi destinasi tarikan terbaharu pelancong.
Masjid itu dibina melibatkan kos RM7.5 juta menjadi tumpuan pelancong sempena cuti sekolah sekarang.
Sejak dibuka pada 1 Ramadan lalu, pengunjung termasuk dari luar negara sering mengunjungi masjid berkenaan.
Orang ramai yang ditemui menyifatkan seni bina masjid tersebut begitu menakjubkan, seolah-olah berada di Makkah.
Seorang pelancong dari Kedah, Aminah Abdullah, 45, berkata, selepas masjid itu tular di media sosial beliau dan keluarga berhasrat mengunjungi bagi melihat dari dekat.
“Masjid ini cukup selesa untuk pelancong seperti kami berehat bagi melepaskan penat,” katanya yang datang ke Kelantan untuk menghadiri perkahwinan ahli keluarganya di Melor.
Seorang lagi pelancong Shaari Hamat, 60, berkata, beliau begitu teruja dan kagum melihat seni bina yang berkonsep Timur Tengah.
“Lebih meruntun perasaan saya apabila pembinaan masjid ini ditanggung sepenuhnya anak tempatan. Bagi saya ia sesuatu yang wajar dijadikan contoh,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/5/2024