Pelajar yatim piatu terbaik SPM Maahad Panchor

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seorang pelajar yatim piatu sebak kerana tidak dapat meraikan kejayaannya memperolehi 9A peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersama ibu bapa.

- Advertisement -

Pelajar Maahad Mardiah Tarbiah, Panchor, Siti Zaharah Ismail, 18, berkata, ibunya Sukriah Ismail meninggal dunia akibat serangan jantung ketika hari kedua beliau menduduki peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) tahun lepas.

Sedangkan katanya pemberian hadiah kepada ibu menjadi rutin setiap kali beliau mendapat kejayaan dalam peperiksaan.

“Bukan arwah ibu yang bagi hadiah kepada saya, sebaliknya saya yang memberinya hadiah sebagai penghargaan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sebelum itu beliau dikunjungi Timbalan Pengarah (Akademik) Yayasan Islam Kelantan (YIK), Mohd Zaki Deraman serta tiga guru dari Maahad Tarbiah Mardhiah, Panchor.

Siti Zaharah merupakan antara pelajar cemerlang Yayasan Islam Kelantan (YIK) SPM 2023 yang diumumkan kelmarin.

Beliau mendapat semua A subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains, Bahasa Arab, Perniagaan, Pendidikan Al-Quran dan Sunnah dan Pendidikan Syariah Islamiah.

Menurutnya juga beliau tidak menyangka mendapat semua A dalam peperiksaan itu berikutan kesedihan yang dihadapi selepas kematian ibunya. Manakala ayahnya meninggal dunia pada tahun 2022.

Namun beliau bersyukur memandangkan adik-beradik yang lain terutama abang iparnya membantunya bagi meneruskan pengajian.

Beliau sekarang tinggal bersama keluarga kakaknya, Nurkhairunnisa Ismail, 24. Abang iparnya, Rushaidam Rusli, 33, bekerja sebagai pemandu treler.

Beliau turut dibantu abang sulung, Mohd Syazwan Ismail. Guru-guru dan rakan juga banyak membantu. – HARAKAHDAILY 29/5/2024

- Advertisement -