KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sentiasa proaktif menerapkan nilai dan minda keusahawanan dalam kalangan pelajar di universiti terbabit.
Pensyarah Kanan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Dr Shah Iskandar Fahmie Ramlee berkata, antara usaha dilakukan termasuk mengadakan Bengkel Pemasaran Digital secara fizikal dan hibrid.
Katanya, pada bengkel yang diadakan baru-baru ini seramai 892 pelajar Tahun 1 FKP menyertainya. Ia diadakan dengan kerjasama KNKV Group.
Kata beliau bengkel terbabit memberi peluang pelajar untuk mempertingkatkan pengetahuan keusahawanan dalam pemasaran digital.
“Bengkel itu melatih pelajar menggunakan platform pemasaran digital secara praktikal merangkumi media sosial, e-mel pemasaran, SEO dan pelbagai lagi.
“Kami yakin ekosistem pendidikan keusahawanan di FKP dapat diperkukuhkan lagi apabila para pelajar diberi kemahiran ke arah digitalisasi,” katanya pada bengkel tersebut baru-baru ini.
Dr Shah Iskandar juga berkata, penganjuran International Convention On Resourceful Entrepreneurs Achieving Tomorrow’s Excellence (I-CREATE 2024) bakal berlangsung di Dewan Keusahawanan UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, pada 10 hingga 13 Jun ini.
Menurutnya I-CREATE 2024 akan menerapkan elemen inovasi dalam keusahawanan yang menghubungkan kerjasama strategik antara warga universiti dan pihak industri.
Tambahnya, program I-CREATE 2024 menggabungkan enam program utama yang memacu pembangunan inovasi dan keusahawanan yang bersifat global.
“Kesedaran terhadap kepentingan pemasaran digital dalam pembangunan keusahawanan mendorong pihak fakulti menganjurkan Bengkel Pemasaran Digital,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/5/2024