Pelajar negeri lain cemerlang di Kelantan layak dapat RM500

Wan Roslan Wan Hamat
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri meneruskan sumbangan sagu hati sebanyak RM500 kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang peperiksaan pada tahun 2023.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, peperiksaan tersebut membabitkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Katanya, permohonan pelajar bagi mendapat sumbangan itu dikelola di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK), akan dibuka bermula 2 Jun sehingga 16 Jun ini.

“Pelajar yang mencapai keputusan 9A ke atas, STAM (Mumtaz) dan STPM (5P) layak memohon untuk mendapatkan sumbangan kerajaan negeri,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.

Menurutnya juga permohonan tersebut terbuka kepada semua anak Kelantan yang belajar di negeri itu dan negeri-negeri lain yang mendapat keputusan cemerlang.

“Anak Kelantan yang mendapat keputusan cemerlang di institusi pendidikan di luar Kelantan turut mendapat sumbangan sama sebagai menghargai kejayaan mereka,” ujarnya.

Selain itu, katanya pelajar cemerlang yang berasal dari negeri lain namun belajar di Kelantan turut berpeluang mendapat sumbangan tersebut.

“Semua anak tempatan dan pelajar dari luar Kelantan menduduki peperiksaan di Kelantan yang mendapat keputusan cemerlang layak untuk memohon.

“Dan mana-mana anak Kelantan yang belajar di luar Kelantan yang mendapat keputusan cemerlang layak memohon untuk menerima sumbangan RM500,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 29/5/2024

- Advertisement -