Modenkan pemandu teksi, jangan ‘disenjakan’

- Advertisement -

MUAR: Walaupun perkhidmatan teksi dan kereta sewa tradisional pada waktu ini dilihat sebagai suatu bidang di tahap ‘senja’ akibat persaingan dengan pengusaha e-hailing, namun golongan itu tidak boleh dibiar dan dipinggirkan.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Abdul Aziz Talib berkata, para pemandu teksi tersebut perlu dibantu untuk membolehkan mereka berada seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat kini.

Namun yang sedang berlaku kini katanya, golongan pemandu teksi dan kereta sewa tradisional dilihat diabaikan dan tidak lagi menerima insentif kerajaan seperti waktu dahulu membuatkan mereka bertambah sukar.

“Bantuan tak ada lagi untuk pemandu teksi. Bantuan minyak, subsidi, tak ada. Daripada Kerajaan Pusat pun tak ada. Jadi mereka mengeluh, mengadu pada saya. Sebab saya baik dengan mana-mana persatuan-persatuan pemandu teksi.

“Mereka kata tolonglah bawa isu ini. Saya kata saya boleh bawa, tapi bila saya seorang sahaja bawa, orang lain tak bawa. Walaupun mereka (kerajaan) kata insya-Allah akan bantu, dah setahun tak ada turunpun bantuan,” katanya.

Tambahnya, maklumat yang beliau terima daripada pemandu teksi, biasanya sebelum ini mereka ada juga menerima bantuan hari raya sekurang-kurangnya RM500, namun kini tidak lagi.

“Kalau kerajaan nak bantu sebagai pengangkutan awam yang efisien, bantulah sikit. Apa salahnya? Zaman Dato’ Sri Najib (Razak) dulu bagi macam-macam bantuan, tayar dan skim pembelian teksi yang mudah.

“Perkara ni kalau nak bawa, di peringkat negeri tak boleh selesai. Kena bawa ke peringkat Kerajaan Pusat,” katanya yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Muar.

Beliau berkata kepada Harakahdaily dalam  wawancara khas di Pusat Khidmatnya, di sini, semalam sebagai mengulas ucapan beliau semasa perbahasan Sidang DUN Johor yang berlangsung baru-baru ini.

Beliau sudah beberapa kali mencadangkan agar kerajaan membantu usaha memodenkan pemandu-pemandu teksi itu agar mereka tidak terpinggir akibat perubahan arus teknologi kerana pengguna sekarang lebih selesa menggunakan sistem dalam talian.

Antaranya, beliau mencadangkan agar diwujudkan satu sistem dalam talian untuk digunakan oleh pemandu-pemandu teksi itu dengan bantuan dan kerjasama agensi kerajaan.

“Bagi peruntukan untuk buat sistem. Itu saja. Tetapi macam tak ada apa-apa nampaknya tentang pemandu teksi ni. Macam nelayan dapat subsidi minyak, pertanian pun dapat subsidi. Teksi tak dapat apa-apa. Begitulah keluhan mereka, keluhan pemandu teksi,” ujarnya.

Selain itu, tambah beliau kerajaan juga perlu memberikan latihan dan tunjuk ajar untuk mereka menggunakan teknologi berkaitan, memandangkan rata-rata mereka biasanya bukan dari kalangan yang celik teknologi. – HARAKAHDAILY 29/5/2024

- Advertisement -