Maahad Tarbiah cipta sejarah lahir ramai pelajar cemerlang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Maahad Tarbiah Mardhiah Panchor mencipta sejarah baru apabila enam pelajarnya mendapat keputusan 9A peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan kelmarin.

- Advertisement -

Pelajar terbabit iaitu Aida Maliki, Nur Amalin Aisyah Zainordin, Nur Syakirah Mohd Zukri, Nurliyana Saliha Alrahimi, Siti Norhafizah Nor Zaiman dan Siti Zaharah Ismail.

Pengetua sekolah tersebut, Najmuddin Abdullah berkata, kebiasaan sebelum ini hanya seorang pelajar yang memperolehi 9A.

Antaranya pada tahun 2006 seorang pelajar memperolehi 15A, dan tahun 2013 serta 2014 pula masing-masing seorang pelajar memperolehi 10A.

“Sejak saya mengajar di sekolah ini pada tahun 2005 sehingga sekarang hanya tahun lepas memperolehi keputusan yang begitu memberangsangkan.

“Walaupun mereka memperolehi 9A, tetapi pelajar terbabit mencipta rekod kecemerlangan yang baharu iaitu jumlah pelajar cemerlang makin ramai,” katanya di sini.

Sehubungan itu beliau merakam ucapan tahniah kepada kesemua pelajar yang berjaya.

Ucapan sama juga katanya kepada tenaga pengajar yang banyak berkorban masa dan tenaga memastikan pelajar mendapat ilmu sebaiknya.

Maahad Tarbiah Mardhiah Panchor (Arab) Tarbiah diasaskan Tok Ayah Kedah dan Wan Gum Haji Said (Lebai Said) pada tahun 1952. Usaha itu kemudian diteruskan Nik Abdullah Arshad.

Sekolah itu pada peringkat awal diberi nama Madrasah At-Tarbiah Al-Mardhiah dan kemudian ditukar kepada Sekolah Menengah Ugama (Arab) Panchor sebelum dinaik taraf sebagai maahad. – HARAKAHDAILY 29/5/2024

- Advertisement -