KUALA TERENGGANU: Karnival Tech Com anjuran Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) dengan usaha sama Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat memberi banyak impak dalam perkembangan ilmu terutamanya bengkel robotik, forum jenayah siber dan drone challenge.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar percaya karnival itu akan menjadi platform yang amat berguna bagi para usahawan, pelajar, dan masyarakat umum untuk mendalami ilmu serta mendapatkan pendedahan terhadap teknologi terkini.
“Dengan adanya pameran, bengkel, dan sesi perkongsian ilmu, kita dapat bersama-sama meneroka potensi dan aplikasi teknologi ICT dalam kehidupan seharian dan juga dalam industri
“Marilah kita bersama-sama memanfaatkan peluang yang ada di karnival ini untuk menimba ilmu, berkongsi idea, dan menjalin kerjasama yang dapat membawa kita lebih jauh ke hadapan dalam era digital ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Tech Com Peringkat Negeri Terengganu dan Majlis Menandatangani MOU bersama rakan strategik di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu, di sini, semalam. Karnival itu berakhir esok.
Katanya, karnival itu juga diharapkan dapat menyemai semangat keusahawanan digital dalam kalangan generasi muda.
“Generasi muda merupakan aset negara yang perlu kita persiapkan dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan untuk menghadapi masa depan yang semakin berteknologi.
“Dengan bimbingan dan sokongan yang betul, saya yakin anak-anak muda Terengganu mampu menjadi peneraju dalam bidang teknologi dan inovasi, bukan sahaja di peringkat negeri, malah di persada antarabangsa,” katanya.
Samsuri dalam masa sama mengingatkan agar masyarakat sentiasa berwaspada terhadap ancaman yang datang bersama perkembangan teknologi.
“Jenayah siber merupakan salah satu cabaran terbesar yang kita hadapi. Kes penipuan dalam talian, kecurian data, dan seranganmalware semakin meningkat dan memerlukan tindakan yang tegas serta bijaksana.
“Kita harus memperkukuhkan keselamatan siber dan memastikan bahawa kita mempunyai perlindungan yang mencukupi untuk menghadapi ancaman ini.
“Selain jenayah siber, gejala negatif media sosial juga menjadi kebimbangan utama. Media sosial, walaupun memberikan banyak manfaat, turut membawa kemudaratan jika tidak digunakan dengan bijak.
“Penyebaran maklumat palsu, buli siber, dan ketagihan media sosial boleh memberi kesan buruk kepada kesejahteraan mental dan sosial masyarakat kita.
“Sebagai pengguna bijak, kita perlu mengamalkan etika digital yang baik dan menyebarkan maklumat yang benar serta positif,” katanya.
Beliau turut berkongsi kata-kata dari Ibnu Khaldun yang juga seorang sarjana Muslim yang terkenal, ‘Ilmu adalah sifat yang membezakan manusia daripada makhluk yang lain, dengan ilmu manusia dapat menyusun strategi, merancang, dan mencapai kejayaan’.
“Inilah semangat yang harus kita tanamkan dalam diri kita untuk memajukan teknologi dan inovasi di negeri kita.
“Dalam menghadapi semua ini, kita perlu mengambil iktibar dari falsafah Islam yang menekankan pentingnya keseimbangan dan tanggungjawab.
“Seperti yang dinyatakan oleh Imam Al-Ghazali, ‘Ilmu tanpa amal adalah kegilaan, dan amal tanpa ilmu adalah sia-sia’. Kita harus memastikan bahawa kemajuan teknologi yang kita capai tidak hanya membawa manfaat material, tetapi juga memberi impak positif kepada nilai dan moral masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/5/2024