Jenama KDN FC dapat kepercayaan syarikat Jepun

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) menerima penajaan sebanyak RM200,000 bagi musim 2024/25 daripada syarikat dari Jepun, ROHM Electronics Sdn Bhd.

- Advertisement -

Presiden KDN FC, Rozi Muhamad berkata, perjanjian berkenaan merupakan kesinambungan daripada musim terdahulu yang terjalin antara kedua-dua pihak.

Katanya, tahun lepas ROHM Electronics memberi penekanan program akar umbi sehingga berjaya menghantar skuad bawah 16 tahun menyertai perlawanan persahabatan antarabangsa bersama tiga akademi bola sepak di Kasaoka, Jepun.

“Saya berharap penajaan ROHM Electronics bersama KDN FC yang bermula sejak beberapa musim akan berterusan untuk jangka masa panjang,” katanya di sini.

Sebelum itu beliau menandatangani perjanjian baharu penajaan yang diadakan di Bangunan A, ROHM Electronics Sdn Bhd di Pengkalan Chepa.

Pada perjanjian itu Rozi bersama Pegawai Komunikasi Korporat, Hisham Lokman serta Pegawai Operasi, Mohd Afiq mewakili KDN FC.

Manakala Presiden ROHM Electronics Hideki Hashimoto serta Pengurus Besar, Hiroaki Terasaka bagi pihak syarikat terbabit.

Rozi juga berkata, syarikat dari Jepun tersebut berbesar hati meneruskan perjanjian penajaan bersama KDN FC untuk musim 2024/25.

“KDN FC menyatakan penghargaan kepada ROHM Electronics kerana sentiasa  mempercayaai jenama KDN FC. Saya berharap ia akan memberi kejayaan seperti yang dirancang,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/5/2024

- Advertisement -