Dapur Kasih perlu bantu penerima untuk ‘survive’

- Advertisement -

MUAR: Kerajaan Negeri Johor disaran agar mengembangkan program ‘Dapur Kasih Johor’ dengan menyelitkan aktiviti yang dapat membuka ruang kepada rakyat untuk mencari pendapatan.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Abdul Aziz Talib berkata, ini bagi membolehkan mereka dapat meningkatkan taraf hidup mereka dan tidak sekadar bergantung kepada bantuan.

“Kita nak cadangkan supaya dikembangkan (program tersebut). Umpamanya kita nak kembangkan supaya dia (rakyat) ni boleh hidup, bukan setakat terima (bantuan) tiap-tiap tahun.

“Sebab setahun lepas tu (mungkin) dah tak ada dah. Kalau peruntukan tu ada daripada kerajaan negeri, ia akan berterusan. Kalau tak ada (peruntukan), ia terhenti, penerima takkan (dapat) nak buat apa-apa,” ujarnya.

Abdul Aziz ditemui dalam satu wawancara khas bersama HarakahDaily di Pusat Khidmat beliau di sini, semalam sebagai mengulas ucapannya semasa perbahasan Sidang DUN Johor yang berlangsung baru-baru ini.

Dalam perbahasan tersebut beliau menyarankan agar kerajaan menambah baik program Dapur Kasih Johor supaya ia tidak sekadar berbentuk bantuan semata-mata tetapi harus memberi mereka ruang dan peluang menambah pendapatan.

“Jadi seeloknya adakan satu kursus ataupun bengkel dan sebagainya untuk penerima Dapur Kasih supaya dia boleh ‘survive’ untuk masa akan datang. Cadangan ini pun banyak disuarakan oleh ADUN-ADUN lain. Jadi kita ambil kesempatan perkara ni.

“Kalau boleh buatkanlah program. Itu terpulanglah kepada pihak Exco ataupun kerajaan negeri bagaimana cara nak membentuk penerima Dapur Kasih ini supaya dia boleh survive,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga boleh melibatkan penerima-penerima ‘Dapur Kasih’ ini dengan pihak industri kecil dan sederhana (IKS) dalam program untuk mereka menjana pendapatan.

“Apa salahnya penerima ini kita libatkan dengan IKS. Beri mereka kerja dengan IKS umpamanya. Didik mereka bekerja dan tidak sekadar menerima bantuan sahaja. Kadang-kadang sesetengah penerima itu OKU, mungkin sukar untuk bekerja. Tetapi itu pun boleh kalau kita nak bantu.

“Libatkan mereka dengan IKS dan sekalikan dengan skim-skim seperti TEKUN. Supaya esok apabila kerajaan tidak dapat lagi nak bagi (bantuan), dia ada cara nak cari duit sendiri. Itulah kaedahnya,” ujarnya.

Tambahnya, mungkin ada ruang-ruang untuk penerima bantuan ini menjadi pembekal kepada IKS tersebut atau melibatkan diri dalam skim seperti sistem payung dengan IKS sebagai jenama utama.

“Di situ kita minta peranan TEKUN untuk memberi modal kepada penerima ini supaya mereka boleh menjalankan usaha-usaha ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/5/2024

- Advertisement -